Shuib ‘lepaskan’ Sepahtu

Penyampai radio dan pelawak, Shuib mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia seni termasuk penglibatannya dalam kumpulan Sepahtu.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 37, keputusan itu dibuat bagi memberikan sepenuh tumpuan terhadap perniagaannya yang semakin berkembang maju.

“Saya memang dah buat keputusan untuk berehat seketika daripada industri hiburan termasuk komitmen dengan kumpulan Sepahtu sekali.

“Keputusan ini dibuat bukan disebabkan kontroversi yang melibatkan diri saya sepanjang tahun lalu.

“Sekarang tumpuan saya adalah untuk fokus pada perniagaan dahulu dan saya pun tak boleh nak cakap tempoh masa berapa lama saya akan berehat nanti,” katanya kepada wartawan.

Shuib mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada dunia seni termasuk penglibatannya dalam kumpulan Sepahtu. – Agensi

Shuib juga telah membuat pengumuman untuk mengundurkan diri sebagai penyampai radio baru-baru ini.

“Sukar sebenarnya untuk saya melepaskan kerja di sini tapi ia agak susah untuk saya fokus pada perniagaan pula (kalau masih bergelar penyampai radio).

“Sebab kita tahulah kerja penyampai segmen pagi, seawal 4 pagi dah bangun dan kadang-kala sampai petang masih berada di stesen radio.

“Macam mana saya nak fokus pada perniagaan… sebab itu saya terpaksa ambil keputusan ini.

“Bila saya buat pengumuman nak berhenti, baharu saya tahu ramai juga yang suka dengar celoteh saya di Hot FM, saya hargai semua itu,” katanya.

Sementara itu, isteri Shuib, penyanyi Siti Sarah Raisudin, 37, berkata dia sentiasa menyokong keputusan yang dibuat suaminya. – Agensi