Thursday, April 18, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Shuib sebak setiap kali teringat masakan arwah Siti Sarah

    Ramadan tahun ini pastinya berbeza buat pelawak Shuib apabila menjalaninya tanpa isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah.

    Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 38, memberitahu hal berkaitan makanan antara yang paling membuatkan dia sering terkenang akan arwah.

    “Kami selalu buat aktiviti bersama termasuk bab makan dan mencari restoran yang sedap. Sekarang ini susah untuk saya dapat satu tempat yang kena dengan cita rasa kerana masakan seperti tidak lengkap.

    “Ada satu hari saya terjumpa sebuah restoran yang memang menyajikan menu sedap tetapi ketika itu saya fikir alangkah indahnya jika arwah masih bersama. Pernah juga ibu mentua masakkan pajeri nenas baru-baru ini, saya tak boleh makan sebab teringatkan arwah. Itulah yang selalu dia masakkan untuk kami sekeluarga,” ujar Shuib kepada media.

    Dalam pada itu, Shuib berkata, selera makan yang masih tidak menentu menyebabkan berat badannya semakin menurun. Namun, demi anak-anak, Shuib berkata, dia cuba memaksa diri untuk makan agar kesihatannya tidak terjejas.

    “Keluarga saya selalu pesan supaya makan agar tidak sakit demi anak-anak. Saya paksa diri makan tetapi tidaklah terlalu berselera.

    “Berat badan saya menurun dari 68 kilogram kepada 59 kilogram sekarang ini. Kalau hitung-hitung dan ikutkan selera sekarang ini, boleh turun lagi sepanjang bulan Ramadan ini,” ujarnya.

    Untuk rekod, Shuib dan Sarah mendirikan rumah tangga pada tahun 2011. Sarah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5:13 pagi, 9 Ogos tahun lalu di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) akibat COVID. Allahyarham menjalani pembedahan bagi mengeluarkan anak damit lelaki ketika kandungannya berusia lapan bulan pada 6 Ogos yang diberi nama Ayash Affan.

    Selain Ayash, Shuib dan Sarah juga dikurniakan tiga orang cahaya mata lain iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – Agensi

    Shuib mengongsikan hal berkaitan makanan antara yang paling membuatkan dia sering terkenang akan arwah. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...