Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Shuib sukar padam memori Ramadan bersama Sarah

    Ramadan kali ini tidak seindah tahun-tahun sebelumnya bagi pelawak dan pelakon, Shuib Sepahtu, 38.

    Pemergian isteri tersayang yang juga penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang menghadap sang pencipta pada tanggal 9 Ogos, tahun lalu akibat COVID, tiga hari selepas berjuang melahirkan anak bongsu, Ayyash Affan membuatkan kehidupan Shuib tidak lagi seindah dahulu.

    Andai orang lain tidak sabar menantikan kehadiran Ramadan, berbeza pula Shuib. Kedatangan bulan mulia itu dilalui dengan penuh kesayuan apabila buat kali pertama menyambutnya tanpa isteri di sisi.

    Keterujaan dan keseronokan melakukan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan bagaikan lenyap sejak ketiadaan isteri di sisi.

    Namun, Shuib atau nama sebenarnya, Shamira Muhammad harus teguh melangkah demi empat cahaya mata yang masih kecil, selain memerlukan belaian dan kasih sayang.

    Shuib harus teguh melangkah demi empat cahaya mata yang masih kecil, selain memerlukan belaian dan kasih sayang. – Agensi

    “Saya anggap Ramadan kali ini paling mencabar. Ini kerana kali pertama saya menyambutnya bersendirian tanpa arwah Sarah di sisi. Anak-anak tiada masalah, mereka sangat teruja menyambut puasa.

    “Dua tiga minggu sebelum tibanya bulan Ramadan, mereka sudah menunjukkan keterujaan. Jujurnya, saya tak susah menguruskan anak-anak, mereka tiada masalah bangun sahur dan berpuasa.

    “Tiada merengek mahupun menangis. Alhamdulillah, mereka cukup bersemangat pada bulan puasa, malah melakukan pelbagai aktiviti bagi elak kebosanan ketika menunggu waktu berbuka puasa.

    “Ada masa mereka menemani saya ke bazar Ramadan membeli juadah berbuka,” kata Shuib ketika ditemui pada sidang media program Diari Daddy secara virtual, baru-baru ini.

    Namun, kata Shuib, perkara paling dirindui bersama arwah adalah kemeriahan berbuka puasa di kediamannya setiap tahun.

    Katanya, sudah menjadi kelaziman arwah mengundang sanak saudara dan sahabat berbuka puasa di rumah, malah kediaman meriah dengan kehadiran tetamu umpama majlis kenduri kendara, hampir setiap malam.

    “Itulah momen paling indah tidak mampu dilupakan sampai bila-bila. Saya anak tunggal dan dilahirkan dalam keluarga sangat kecil. Jadi, saya belajar makan beramai-ramai ketika berbuka puasa dan bersahur selepas berkahwin dengan arwah,” katanya.

    Berkongsi program Diari Daddy, Shuib berkata, ia bukan bermakna dirinya bersedia kembali mewarnai dunia hiburan, sebaliknya, menerima pelawaan TV3 menjayakan program berkenaan demi anak-anak.

    Katanya, dia ingin mencipta memori dan ingin anak-anak tahu kepayahan bekerja dan mencari duit demi menyara keluarga.

    “Saya menerima tawaran menjayakan program Diary Daddy kerana dapat mengeratkan hubungan dengan anak-anak, memandangkan mereka turut terbabit dalam program ini.

    “Saya mahu anak-anak tahu bukan mudah kerja penggambaran. Jadi, mereka tahu betapa bersusah payah saya bekerja selama ini demi menyara keluarga.

    “Alhamdulillah, anak-anak seronok sepanjang penggambaran. Saya tak sangka mereka berbakat dan memberikan kerjasama yang sangat baik.

    “Program Diary Daddy bakal menjadi memori yang indah buat kami,” katanya.

    Anak kelahiran Johor Bahru itu berkata, walaupun boleh menghasilkan sendiri program seperti ini untuk saluran YouTube, namun ia tidak sama. – Agensi

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...