Saturday, December 7, 2024
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Si Bulus terbiar, kelaparan di Pulau Furtada

    MANGARATIBA, BRAZIL – Seluruh penduduk tempatan tahu pulau yang terletak di barat Rio de Janeiro dipenuhi dengan kucing.

    Ia sering menjadi tumpuan pelancong dan orang kampung yang membawakan makanan kepada kucing-kucing ini. Kemudian pandemik koronavirus meletus, dan sokongan manusia hampir tiada, justeru membawa kepada pemandangan menggerunkan yang dilihat oleh nelayan: sekumpulan kucing memakan bangkai ku-cing lain.

    Pulau Furtada, dirujuk sebagai ‘Pulau Kucing,’ adalah pulau yang mengambil masa perjalanan 20 minit dengan motobot dari bandar Mangaratiba, di hujung Pantai Hijau Brazil, kawasan hutan tropika pergunungan yang luas dan suak berpasir dengan ratusan pulau.

    Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, nelayan membuang isi perut ikan dan hasil tangkapan yang tidak diperlukan di pulau itu, sementara orang lain yang baik hati meninggalkan mangkuk air dan makanan kucing yang dibeli dari kedai.

    Ia telah membantu ratusan penghuni pulau itu dengan bekalan makanan berterusan, terutamanya kucing yang terbiar yang kekurangan kemahiran berbanding haiwan liar di hutan, yang pandai memanjat pokok untuk menyerbu sarang burung.

    Seorang anggota sukarelawan memegang seekor kucing terbiar cedera di Pulau Furtada, Mangaratiba, Brazil. – AP
    Sebuah bot milik Pelindung Haiwan berlabuh di Pulau Furtada. – AP

    Seekor kucing berehat di atas dahan pokok di Pulau Furtada, lebih dikenali sebagai ‘Pulau Kucing’ di Mangaratiba, Brazil. – AP

    Kucing memakan dari dispenser makanan yang diisi oleh anggota sukarelawan di Pulau Furtada. – AP

    Apabila pandemik memaksa orang dikuarantin, menjejas pelancongan dan menutup restoran yang menyajikan makanan laut, lalu lintas bot di seluruh pulau merosot mendadak – dan bersamanya, makanan dan air yang disimpan di sana.

    Penduduk tempatan tidak menyedari kejadian menggerunkan yang berlaku di pulau itu sehingga nelayan melaporkan insiden tersebut pada April lalu. “Jumlah bot telah merosot, jumlah pelancong, dan kami melihat keadaan haiwan berkenaan di pulau,” kata Jorge de Morais, 58, yang bekerja dengan kumpulan tempatan yang menyelamatkan haiwan yang didera. “Maka kami menghantar anggota sukarelawan.”

    Dia dan anggota sukarelawan lain meminta perniagaan tempatan untuk sumbangan. Pada April, mereka mula mendirikan dispenser air dan makanan asas, dibuat daripada paip PVC, dan sekarang mengadakan kunjungan mingguan untuk mengisi semula stok untuk kucing-kucing itu.

    Pada Selasa, tatkala kucing-kucing merayau-rayau di kawasan itu, de Morais dan tiga orang lain mengisi dispenser di pulau kecil itu, di mana tumbuh-tumbuhan melata menuruni pantai berbatu-batan.

    “Kucing-kucing yang dibuang baru-baru ini, ia bersifat lebih sosial. Anda melihat kami boleh mendekatinya, mengusap haiwan-haiwan ini,” kata Joice Puchalski, penyelaras untuk kumpulan sukarelawan. “Namun bukan kucing jalang. Kucing-kucing jenis itu semuanya tersembunyi, dan anda hanya melihatnya keluar pada waktu malam, disebabkan matanya.”

    Kira-kira 250 ekor kucing di pulau itu berasal daripada peliharaan sepasang suami isteri yang merupakan satu-satunya penghuni di pulau kira-kira dua dekad lalu, jelas Puchalski, 47. Mereka kemudian meninggalkan tempat itu, mengabaikan kucing-kucing itu di sana untuk melakukan apa sahaja di pulau terpencil itu.

    Apabila jumlah kucing meningkat, orang mulai perasan, dan sesetengah percaya mereka telah menemui tempat pembuangan untuk masalah bandar: kucing tidak dikehendaki dan terabai.

    Pihak berkuasa sedang menimbang cara-cara untuk menghalang orang ramai daripada meninggalkan haiwan mereka di pulau itu. Ia telah pun dianggap sebagai satu jenayah, namun ia tidak menunjukkan keberkesanan.

    Karla de Lucas, yang menyelia perlindungan haiwan di negeri Rio, memeriksa Pulau Kucing pada Jun, dan dia bertemu dengan pihak berkuasa alam sekitar dan Tentera Laut untuk memeriksa dengan teliti hukuman yang patut dikenakan, menurut kenyataan pada masa itu. Kongres juga meluluskan satu undang-undang pada bulan lalu untuk menambah penalti kerana menganiaya kucing dan anjing, termasuk hukuman penjara lima tahun.

    Pulau itu tidak mempunyai mata air dan air minuman terhad mengakibatkan masalah buah pinggang untuk kucing, menurut Puchalski. Namun ancaman terbesar adalah ular kapak dan gigitan beracun reptilia itu. Cicak juga akan menyerang dan mencederakan anak kucing. Sesetengah kucing cedera apabila pengayuh perahu melontar mereka ke batu.

    Anggota sukarelawan membawa kucing ke pantai jika diperlukan, untuk rawatan atau pembedahan. Mereka cuba mencari seseorang untuk mengambil setiap haiwan dan, sekiranya gagal, membawanya semula ke pulau supaya mereka boleh memberikan perhatian kepada kucing lain yang memerlukan rawatan perubatan.

    Ia merupakan usaha Sisyphean, kata Puchalski.

    “Kami benar-benar memerlukan orang yang boleh berganding bahu bersama kami membanteras perbuatan jenayah ini yang bagi kami, merupakan satu kekejaman,” kata beliau. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda