Friday, December 1, 2023
29.6 C
Brunei

    -

    Si cilik berusia 10 tahun pandai pukau penonton

    KUALA LUMPUR – Umurnya baru 10 tahun, namun keberanian dan kepetahan kanak-kanak ini bercakap di khalayak ramai sangat memukau sehingga mengundang rasa kagum audiens di sebuah majlis makan malam yang dihadiri ramai pemimpin antarabangsa.

    Biarpun berbicara dalam bahasa Inggeris, gaya Nur Ayeesha Azzaleea Mohamed Mukhriz sangat bersahaja manakala tutur katanya pula tersusun kemas sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada audiens yang terpesona dengan persembahannya.

    Tidak hairanlah, persembahan murid Sekolah Kebangsaan (SK) USJ 12, Subang Jaya pada Majlis Makan Malam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF) di ibu negara Malaysia pada 19 Oktober lepas, tular di aplikasi TikTok sehingga meraih
    1.3 juta tontonan sejak dimuat naik 20 Oktober lalu.

    Berpeluang bercakap di hadapan konglomerat asing, Nur Ayeesha Azzaleea atau lebih mesra disapa sebagai Zaza mengakui tidak pernah rasa takut atau panik ketika berada di atas pentas.

    “Saya selalu membayangkan penonton seperti sekumpulan semut atau permainan. Jika berlakunya sesuatu masalah, contohnya terlupa teks, saya akan mengambil masa untuk bertenang seketika dan bercakap dengan perlahan sambil berusaha mengingati teks.

    Zaza berbakat besar dalam pengucapan awam. – Bernama

    “Alhamdulillah, saya tidak pernah mengalami masalah terlupa sepanjang menceburi bidang pengucapan awam ini, cuma pernah sekali saya mengalami masalah untuk menyebut perkataan ’osteoporosis’, tetapi dapat mengatasinya dengan baik,” katanya kepada Bernama.

    Sebagai persediaan, Zaza yang juga aktif dalam bidang tarian menerusi penyertaannya dalam kelab tarian di sekolahnya, Tatih Pusaka Seni USJ12, biasanya akan berlatih di hadapan dinding, cermin atau ibu bapanya yang bertindak sebagai penonton dalam memberi teguran.

    “Ibu juga akan memainkan peranan dengan merakam video ketika membuat latihan bagi melihat semula seterusnya menilai gaya persembahan, terutamanya dari segi kemahiran komunikasi. Jika ada yang tidak betul, ibu akan tegur,” katanya yang menjadikan ibunya, Norani Mohd Sarawanie sebagai idola.

    Sementara itu, Norani, 42, mengakui menyedari bakat istimewa anaknya dalam bidang pengucapan awam sejak berusia tujuh tahun.

    “Zaza adalah seorang yang suka bercakap, sampaikan dia boleh mengulas buku atau filem yang ditontonnya kepada saya dan suami dengan baik. Tabiatnya itu dilakukan sehingga sekarang,” katanya.

    Malah, bagi mengembangkan potensi Zaza dalam bidang itu, Norani turut menghantar anaknya itu ke sebuah kelas pengucapan awam di Subang Jaya, Selangor, sejak dua tahun lepas, bagi membantu membina dan meningkatkan keyakinan dirinya apabila bercakap di khalayak ramai.

    Norani yang juga guru di SK USJ 12, Subang Jaya berkata kemampuan Zaza berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik pula adalah disebabkan kekerapannya menonton video dalam bahasa kedua itu melalui YouTube, sejak kecil.

    “Video itu kebanyakannya menggunakan slanga Amerika dan British, manakala Zaza pula suka meniru gaya percakapan mereka sehingga ada yang menyatakan Zaza meniru gaya artis Zahirah McWilson bercakap.

    “Walaupun Zaza dilihat menguasai bahasa Inggeris, Zaza masih boleh menguasai bahasa Melayu dengan baik, bahkan, Zaza juga pernah beberapa kali memenangi pertandingan bercerita dalam bahasa itu,” katanya.

    Pada masa sama, Norani turut berkongsi sokongan ibu bapa adalah faktor utama dalam proses kemenjadian seseorang anak.

    “Jangan patahkan semangat mereka dan selalu memberi galakan kepada anak untuk mencuba. Kita perlu sama-sama duduk dan sertai sekali aktiviti yang ingin dilakukannya,” katanya yang turut menyokong cita-cita anaknya yang mahu terlibat dalam bidang
    seni dan budaya pada masa hadapan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Semakin ramai pelajar Korea mahu jadi doktor kerana gaji tinggi

    SEOUL, 1 DIS - Pendapatan tinggi telah menjadi sebab utama pelajar sekolah rendah dan menengah di Korea Selatan memilih menjadi doktor perubatan sebagai laluan...