ULASAN BUKU OLEH RAZ AS
TIADA sesiapa pun tahu sebab kenapa Maharaja Sikander tiba-tiba datang bertandang ke Shalingar. Sehingga sekarang, kerajaan yang tidak berpihak kepada sesiapa itu terkecuali daripada keganasan bala tentera maharaja tersebut.
Demi memastikan keamanan kerajaannya terjamin, Puteri Amrita telah menawarkan dirinya sendiri untuk menjadi isteri kepada maharaja zalim itu. Sang puteri telah mengorbankan segala-galanya termasuk keluarga, percintaan dan kebebasannya sendiri demi rakyat jelata.
Akan tetapi ternyata pengorbanannya itu masih belum mencukupi. Istananya akan dikepung oleh musuh dan Amrita terpaksa melarikan diri bersendirian kecuali ditemani oleh Thala, seorang ahli sihir yang juga hamba kepada sang maharaja yang berjaya melarikan diri ketika huru-hara melanda.
Tidak tahu ke mana mereka harus pergi untuk mendapatkan pertolongan, Amrita dan Thala harus berganding bahu demi keselamatan mereka berdua.

Meskipun Amrita dibebani dengan tanggungjawab terhadap rakyatnya, Thala tidak mempunyai apa-apa ikatan sejak kebebasannya. Untuk itu Thala telah menyarankan Amrita untuk mengembara mencari Library of All Things yang menjadi bualan ramai.
Di sana mereka mungkin akan dapat menukarkan kembali nasib mereka berdua. Mendapatkan kembali apa yang telah Sikander rampas daripada mereka.
Segala yang dikasihinya telah dirampas dan dia terperangkap di antara kisah silam dan masa depan yang tidak pasti, dapatkah Amrita mendapatkan kembali semua yang telah dia kehilangan, atau mungkin kehidupan dan percintaan baru akan menantinya di hujung pengembaraan.
Untuk mengetahui jawapannya, semua dapat diikuti melalui novel The Library of Fates karya Aditi Khorana.