SIA ceriakan pelajar SMARTER

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Kira-kira 40 orang pelajar di Pusat SMARTER Edge, Kampung Mata-Mata Gadong diceriakan dengan pemberian hadiah cenderahati daripada kakitangan Singapore Airlines (SIA), hari ini.

Antara yang hadir sama pada penyerahan hadiah-hadiah tersebut ialah Pengurus Besar SIA, Keith Ting di samping kakitangan SIA lainnya yang terdiri daripada Marina Brooke, Irene Ong, Rojeam Hee dan Anidah Abdul Ghani pada sesi pagi.

Sementara itu, acara sama turut diadakan pada sebelah petang yang menyaksikan beberapa kakitangan lain, Dayang Norimah Tamin, Hajah Noradyani binti Haji Awang Ali, Dayangku Izzah binti Pengiran Idris dan Dayang Nursyahiirah Hasaan menyampaikan hadiah-hadiah tersebut kepada para pelajar.

Turut hadir pada acara yang berlangsung pagi tadi ialah Presiden SMARTER, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang, manakala sesi petang menyaksikan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif SMARTER, Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah serta kakitangan di Pusat SMARTER Edge.

Cenderahati berupa Jellycat Bashful Beige Bunny di samping hadiah lainnya itu diharap dapat menggembirakan para pelajar yang diraikan.

Ini merupakan kali pertama SIA mengadakan acara seumpamanya untuk SMARTER dan menurut wakil syarikat berkenaan, acara tersebut dijalankan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Salah seorang pelajar menerima cenderahati pada majlis tersebut.
Gambar ramai para pelajar Pusat SMARTER Edge bersama pegawai dan kakitangan SIA dan SMARTER.