SIA terima pengiktirafan

SINGAPURA, 20 JAN – Singapore Airlines (SIA) meraih penarafan Diamond, tahap tertinggi dalam Airline Passenger Experience Association (APEX) Health Safety yang dikendalikan oleh audit SimpliFlying syarikat penerbangan global.

Menurut kenyataan SIA, hari ini, audit yang dilakukan bersama badan industri APEX dan firma strategi penerbangan SimpliFlying, melibatkan senarai semak 58-mata kuantitatif yang merangkumi 10 kategori.

Ini termasuklah pengujian, pengesanan, prosedur di darat, langkah-langkah dalam penerbangan dan perkongsian untuk meningkatkan integriti keselamatan.

Penarafan Diamond merupakan tahap tertinggi yang dapat dicapai dalam pengauditan, menandakan sekurang-kurangnya 200 mata melebihi piawaian emas minimum yang ditentukan oleh APEX dan SimpliFlying untuk keselamatan dan kesejahteraan penumpang.

Menurut Naib Presiden Kanan bagi Pengalaman Pelanggan SIA, Yeoh Phee Teik, pada awal pandemik COVID-19, mereka telah melakukan tinjauan komprehensif mengenai langkah-langkah kesihatan dan keselamatan bersama rakan kongsi dan pengawal selia, selepas berunding dengan pakar perubatan dan mengambil maklum balas daripada pelanggan.

“Pasukan kami juga melakukan penyelidikan dalam pengembaraan penumpang dan mengukuhkan prosedur yang ada jika perlu, memperbaiki dan memperkenalkan langkah baharu dengan menggunakan teknologi digital untuk menyokong pengalaman perjalanan yang lebih baik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif APEX, Dr Joe Leader berkata “Komitmen SIA untuk kesejahteraan pelanggan menyerlah melalui pengurusan perjalanan tanpa sentuhan yang disokong oleh kebersihan dalam pesawat. Sebagai sebuah syarikat penerbangan yang diberi penarafan Diamond, SIA melangkah lebih jauh dan melabur dalam kesihatan penumpang dengan menerapkan kemajuan terkini dalam teknologi ujian dan pasport kesihatan.”

Manakala itu Ketua Pegawai Eksekutif SimpliFlying, Shashank Nigam mengongsikan SIA telah meningkatkan standard keselamatan kesihatan dengan inisiatif baharu untuk memastikan keselamatan kesihatan dapat meningkatkan kepercayaan dalam kalangan pelancong.

Gambar fail menunjukkan seorang penumpang ketika berada di dalam sebuah pesawat SIA. SIA meraih penarafan Diamond, tahap tertinggi dalam APEX Health Safety yang dikendalikan oleh audit SimpliFlying. – AFP