Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JULAI – Dalam memastikan segala persiapan untuk Majlis Ramah Mesra bersama Rakyat dan Penduduk bagi Daerah Brunei dan Muara berjalan lancar, raptai penuh telah diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, hari ini.
Hadir menyaksikan raptai penuh itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 bagi tahun 2022.
Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pegawai Daerah Brunei dan Muara dan ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-76 tahun bagi Daerah Brunei dan Muara.
Majlis ramah mesra bersama rakyat dan penduduk di Daerah Brunei dan Muara akan diadakan pada 24 Julai ini di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk hadir ke majlis itu dikehendaki untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk melakukan ujian pantas antigen (ART) dan memuat naik keputusan ART ke aplikasi BruHealth atau menggambar keputusan berkenaan menggunakan telefon bimbit masing-masing dengan menulis nama, hari, tarikh dan jam, di mana hanya individu yang mendapat keputusan negatif sahaja yang dibenarkan masuk.
Orang ramai juga dimestikan sentiasa memakai pelitup muka dan digalakkan mensanitasi tangan serta tidak bersalam-salaman.
Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal dan mereka yang mempunyai simptom-simptom seperti demam panas, batuk selesema, masalah pernafasan dan sebagainya adalah dinasihatkan untuk tidak menghadiri majlis.