Siap sepenuhnya hujung bulan ini

PAPAR, 13 JUN – Blok baharu Fasa 1 Hospital Papar bakal siap sepenuhnya hujung bulan ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min.

Beliau berkata pembinaan projek fasa satu menaik taraf hospital berkenaan yang memakan belanja sebanyak RM6.5 juta mengalami kelewatan dan sepatutnya dijadualkan siap pada 2 Nov 2018.

“Projek ini telah dimulakan pada 3 Nov 2016 dan blok bangunan baharu ini antaranya akan menempatkan Unit Hemodialisis dan satu dewan bedah,” katanya kepada pemberita selepas melawat hospital berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dan Pengarah Hospital Papar Dr Norhezan Mohd Seri.

Dr Chen berkata pembinaan fasa dua bangunan baharu Hospital Papar pula kini 8.87 peratus siap dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2021.

“Projek bernilai RM65 juta ini lewat satu tahun disebabkan oleh masalah tapak tanah dan saya lihat proses pembinaannya berjalan lancar selepas masalah berkenaan selesai,” katanya. – Bernama

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Poo Ming Fung @ Frankie (kiri) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min (hadapan) ketika melawat bangunan baharu Hospital Papar, kelmarin. – Bernama