Sunday, November 27, 2022
22 C
Brunei

-

Siap siaga tempuhi pandemik, isu kesihatan masa depan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Kepentingan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara kali ke-19 merupakan peluang terbaik untuk berkongsi pengalaman dalam menangani krisis seperti pandemik COVID dan mengeratkan hubungan dalam kalangan persatuan kebangsaan untuk bekerjasama memperkukuh kesiapsiagaan serta tindak balas terhadap pandemik masa depan dan isu kesihatan di rantau ini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menekankan perkara tersebut dalam ucapannya selaku tetamu kehormat di Majlis Perasmian Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara kali ke-19, yang diadakan hari ini di Hotel dan Apartmen Wafa. Beliau mengongsikan, “Selama lebih dua tahun, kita telah melihat bagaimana pandemik COVID telah menjejaskan berjuta-juta orang di seluruh dunia.

“Semasa kita berjuang untuk menentangnya, kita juga melihat banyak kejadian besar lain yang berlaku seperti wabak penyakit, konflik dan fenomena cuaca melampau,” kata Yang Berhormat Dato.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menambah, “Tahun ini sahaja, kita telah melihat beberapa siri bencana berkaitan cuaca yang dahsyat di pelbagai bahagian dunia. Berjuta-juta orang telah kehilangan tempat tinggal, mata pencarian dan orang tersayang, dan negara-negara Asia Tenggara tidak terkecuali. Beberapa buah negara di rantau ini adalah antara yang paling teruk terjejas.”

Yang Berhormat Dato mengingatkan, “Mereka yang dilanda krisis paling teruk adalah golongan paling terdedah. Oleh itu, melindungi kumpulan yang terdedah ini menjadi objektif yang penting dan mustahak.

“Kita memerlukan struktur dan prosedur yang lebih berkesan. Kita juga perlu menyesuaikan dan mengukuhkan usaha untuk menangani risiko, bertindak balas dengan lebih baik terhadap krisis dan memudahkan bantuan kemanusiaan untuk pemulihan yang mampan dalam landskap yang sentiasa berubah ini, terutamanya kepada mereka yang dibebani dalam konflik dan sudah menghadapi kapasiti dan sistem yang terhad,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Beliau juga memuji bahawa mesyuarat tahun ini juga menandakan penglibatan pertama belia melalui sesi dialog khas bersama pemimpin untuk membincangkan cabaran yang dihadapi generasi muda, dan mengenal pasti jurang kepimpinan dan penyelesaian untuk pemimpin masa depan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut, kelmarin.
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Selatan lancar bas pandu sendiri

SEOUL, 25 NOV – Ibu negara Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertama hari ini, sebahagian daripada uji kaji yang dikatakan jurutera berhasrat...
- Advertisment -