Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Siapa bakal pimpin M’sia?

    KUALA LUMPUR, 20 NOV — Dua pemenang terbesar pilihan raya umum Malaysia ke-15 (PRU15) hari ini bersaing meraih sokongan parti lain bagi membentuk sebuah kerajaan selepas pilihan raya sengit gagal menampilkan pemenang majoriti, dengan Yang di-Pertuan Agong akan menjadi perantara muktamad.

    Parlimen telah tergantung selepas pilihan raya pada Sabtu yang menyaksikan kebangkitan nasionalis Melayu dan mengheret negara itu ke dalam krisis baharu.

    Ia turut mengejutkan ramai rakyat Malaysia yang mengharapkan kestabilan dan perpaduan selepas pergolakan politik yang menyaksikan tiga perdana menteri silih berganti sejak pilihan raya 2018.

    Parti nasionalis Melayu, Perikatan Nasional diketuai oleh bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memperolehi sokongan tidak dijangkakan, apabila menang 73 daripada 222 kerusi parlimen. Parti pakatannya, Parti Islam SeMalaysia (PAS) merupakan pemenang terbesar dengan mendapat 49 kerusi parlimen, lebih dua kali ganda daripada yang dimenanginya pada 2018.

    Parti pembangkang, Pakatan Harapan diketuai Anwar Ibrahim, mengungguli persaingan dengan 82 kerusi persekutuan, namun tidak mencapai jumlah 112 kerusi majoriti yang diperlukan.

    ATAS & BAWAH: Anwar dan Muhyiddin semasa sidang media kelmarin. Parti pakatan kedua-duanya meraih undian besar dalam PRU15 Malaysia. –AP

    Manakala pakatan diketuai oleh Pertubuhan kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang mentadbir Malaysia sejak kemerdekaan dari Britain sehingga 2018, tewas besar. Ia hanya menang 30 kerusi, prestasi terburuk pernah dicatatkannya ketika ramai orang Melayu memilih parti pimpinan Muhyiddin yang membawa slogan ‘prihatin, bersih dan stabil.

    “Pilihan raya ini telah memperkuat identiti politik. Memandangkan tiada parti meraih majoriti jelas, kerajaan pakatan yang baharu dibentuk perlu menyatupadukan negara,” kata pengarah strategik hal ehwal awam di syarikat konsultan risiko politik KRA Group, Amir Fareed Rahim

    Anwar dan Muhyiddin, kedua-duanya berusia 75 tahun, mendakwa mereka telah mempunyai sokongan mencukupi untuk mendapatkan majoriti, namun tidak memberikan butiran lanjut.

    Muhyiddin tampak mendahului apabila bertemu dengan pemimpin parti blok Borneo hari ini. Menurutnya, rundingan sedang berjalan dengan kumpulan lain.

    “Insya Allah, kerajaan persekutuan akan dapat dibentuk tidak lama lagi,” ciapnya.

    Anwar dalam satu sidang media, memberitahu beliau telah meraih sokongan bertulis bagi meraih majoriti. Menurutnya, senarai itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan memuktamadkan keputusan.

    “Kami telah meraih majoriti…majoriti bermakna lebih 111,” kata Anwar.

    Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada PRU15, memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon perdana menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang, esok. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...