TUTONG, 10 Jun 2003 – Sebilangan jemaah sebuah masjid di daerah itu berasa kurang senang dengan sikap beberapa jemaah lain yang mereka dakwa mengambil alih tugas bilal dan imam masjid tersebut dengan sewenang-wenangnya.
Salah seorang jemaah mendakwa, terdapat beberapa jemaah masjid itu yang selalu melaungkan azan tanda masuk waktu sembahyang tanpa pengetahuan bilal yang dilantik khusus oleh kerajaan.
Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan telah melantik dan mengamanahkan tugas itu kepada bilal masjid untuk melaksanakannya.
Perkara itu katanya sudah lama berlaku dan pernah dilaporkan kepada Jabatan Hal Ehwal Masjid.
Ekoran aduan itu, masalah mengambil alih tugas secara sesuka hati itu dapat diatasi dengan kedua-dua bilal dan imam masjid dipanggil untuk memberi penjelasan.
Tetapi katanya, kali ini perkara yang serupa berulang kembali menyebabkan jemaah berada dalam kelam kabut dan kurang senang.
“Paling teruk sekali, belum lagi bilal dan imam datang ke masjid sudah ada orang lain yang membaca tahrem dan seterusnya melaungkan azan Subuh,” katanya.
Seorang lagi jemaah mendakwa, imam dan bilal masjid juga tidak prihatin dan tidak tegas dalam menangani masalah itu bahkan seolah-olah tidak menghiraukannya sehingga pernah kedua-duanya tidak hadir menjalankan tugas mereka seperti yang diamanahkan kerana beranggapan sudah ada jemaah lain yang mampu melaksanakannya.
Keadaan itu katanya akan menggalakkan lagi jemaah-jemaah lain untuk mengambil alih tugas bilal dan imam sewenang-wenangnya tanpa mengetahui keburukan yang boleh berlaku.
“Gara-gara sikap yang tidak bertanggungjawab itu, pada bulan lepas tabung derma di dalam masjid dipecah oleh pencuri kerana pintu masjid berkenaan tidak dikunci.
“Kecuaian itu berlaku kerana kunci masjid disimpan oleh orang yang tidak bertugas di masjid itu,” dakwanya.
Beliau berharap masalah itu dapat diselesaikan dengan baik oleh pihak berkenaan dan memastikan ia tidak berulang kembali.
“Sekarang sudah tiba masanya jabatan yang berkaitan mengambil perhatian dan tindakan terhadap masalah itu sebelum keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.