Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Siapa lebih utama memandikan mayat?

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Di negara kita ini, terdapat pihak-pihak tertentu yang menangani pengurusan mayat sama ada bagi mayat lelaki ataupun perempuan.

    Sungguhpun demikian, ia tidak menghalang kaum kerabat si mati daripada turut sama dalam menguruskan mayat malahan merekalah yang lebih utama dalam menguruskannya.

    Salah satu perkara yang wajib dilakukan dalam pengurusan mayat ialah mandi. Hukum memandikan mayat adalah fardhu kifayah, sebagaimana juga tuntutan mengafankan, menyembahyangkan dan mengembumikan mayat.

    Orang yang dituntut memandikan mayat pada hukum asalnya ialah lelaki hendaklah memandikan mayat lelaki dan perempuan hendaklah memandikan mayat perempuan.

    Persoalannya adakah harus bagi perempuan memandikan mayat lelaki atau sebaliknya dan siapakah di kalangan lelaki atau perempuan yang lebih utama dalam memandikan mayat?

    Orang yang dituntut memandikan mayat pada hukum asalnya ialah lelaki hendaklah memandikan mayat lelaki dan perempuan hendaklah memandikan mayat perempuan. – Agensi

    Tuntutan sama jantina dalam memandikan mayat

    Pada hukum asal, mayat dan orang yang memandikan mayat itu hendaklah sama jantinanya melainkan beberapa orang yang tertentu seperti berikut:

    1. Suami harus memandikan mayat isterinya (yang bukan dalam talak raj‘i atau ‘iddah kerana syubhah) walaupun dia mengahwini adik-beradik isterinya setelah isterinya meninggal dunia dan mayatnya belum dimandikan ataupun dia mengahwini empat orang setelah isterinya meninggal dunia. Ini kerana hak-hak perkahwinan itu tidak terputus disebabkan kematian.

    Keharusan suami memandikan mayat isterinya itu ada disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a., Rasulullah bersabda kepada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang sedang sakit kepala yang maksudnya:

    “Tidak ada yang perlu disusahkan jika engkau meninggal dunia terlebih dahulu sebelumku, nescaya aku mandikan engkau, aku kafankan engkau, aku sembahyangkan engkau dan aku mengebumikan engkau.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

    2. Isteri harus memandikan mayat suaminya walaupun si isteri telah habis ‘iddahnya dan dia telah berkahwin dengan orang lain. Gambaran bagi situasi ini, isteri melahirkan anak sebaik sahaja suaminya meninggal dunia, lalu dia berkahwin dengan lelaki lain sebelum bekas suaminya dimandikan.

    Keharusan isteri memandikan mayat suaminya ada diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, dia berkata yang maksudnya:

    “Sekiranya aku mengetahui apa yang berlaku masa hadapan sebagaimana aku mengetahui apa yang telah berlaku, nescaya tidak dimandikan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melainkan oleh isteri-isteri Baginda.” (Hadis riwayat Abu Daud)

    3. Tuan yang memiliki hamba perempuan. Apabila hambanya itu meninggal dunia, harus bagi tuannya memandikan mayat hambanya itu.

    4. Mahram lelaki harus memandikan mayat mahram perempuannya. Contohnya, bapa harus memandikan mayat anak perempuannya.

    5. Mahram perempuan harus memandikan mayat mahram lelakinya. Contohnya ibu harus memandikan mayat anak lelakinya.

    6. Lelaki harus memandikan mayat kanak-kanak perempuan (yang belum sampai had mendatangkan syahwat).

    7. Perempuan harus memandikan mayat kanak-kanak lelaki (yang belum sampai had mendatangkan syahwat).

    Siapakah lebih utama memandikan mayat?

    1. Jika mayat itu lelaki, maka orang yang lebih utama memandikannya ialah mengikut urutan tertib berikut:

    i) Orang yang lebih utama mengimamkan sembahyang mayat iaitu keturunan lelaki yang ‘ashabah (kerabat yang termasuk dalam ahli waris yang menerima kesemua bahagian waris atau bakinya) dengan mengikut tertib berikut:

    – Bapa.
    – Nenek lelaki sebelah bapa hingga ke atas.
    – Anak lelaki.
    – Cucu lelaki sebelah anak lelaki hingga ke bawah.
    – Adik-beradik lelaki seibu sebapa.
    – Adik-beradik lelaki sebapa.
    – Anak saudara lelaki sebelah adik-beradik lelaki seibu sebapa.
    – Anak saudara lelaki sebelah adik-beradik lelaki sebapa.
    – Keturunan lelaki yang ‘ashabah mengikut tertib waris seperti bapa saudara sebelah bapa, anak lelaki kepada bapa saudara sebelah bapa, nenek saudara lelaki sebelah bapa, anak lelaki kepada nenek saudara lelaki sebelah bapa dan begitulah seterusnya dengan mendahulukan yang seibu bapa daripada yang sebapa.

    Orang yang fakih (yang mengetahui perkara memandikan mayat) adalah diutamakan daripada orang yang tidak fakih walaupun yang tidak fakih itu lebih tua atau lebih akrab dengan si mati.

    ii) Lelaki yang memerdekakannya kemudian keturunannya dari lelaki yang ‘ashabah.
    iii) Ketua negara atau penolongnya, jika baitulmal ada diwujudkan secara teratur di negara berkenaan.
    iv) Lelaki yang mempunyai hubungan dzawu al-arham (kerabat yang tidak termasuk dalam ahli yang menerima bahagian waris). Dalam hal ini, didahulukan kerabat yang lebih dekat, antaranya seperti tertib berikut:
    – Nenek lelaki sebelah ibu.
    – Cucu lelaki sebelah anak perem-puan.
    – Adik-beradik lelaki seibu.
    – Bapa saudara sebelah ibu.
    – Bapa saudara seibu sebelah bapa.
    v) Lelaki ajnabi (yang tidak ada pertalian darah).
    vi) Isteri.
    vii) Kerabat di kalangan perempuan yang mahram seperti anak perempuan dan ibu.

    2) Jika mayat itu perempuan, maka orang yang lebih utama memandikannya ialah mengikut tertib berikut:

    i) Kerabat di kalangan perempuan yang mahram (iaitu yang haram nikah dengannya jika ditakdirkan si mati itu lelaki) seperti anak perempuan, ibu dan adik-beradik perempuan.

    Jika kedudukan perempuan itu sama dalam mahram maka didahulukan yang ‘ashabah (jika ditakdirkan mereka itu lelaki) seperti ibu saudara sebelah bapa adalah didahulukan daripada ibu saudara sebelah ibu.

    ii) Perempuan yang mempunyai hubungan dzawu al-arham. Didahulukan di kalangan mereka yang lebih dekat seperti anak perempuan kepada ibu saudara sebelah bapa adalah didahulukan daripada anak perempuan kepada ibu saudara sebelah ibu.
    iii) Perempuan yang memerdekakannya.
    iv) Perempuan mahram disebabkan sesusuan seperti ibu sesusuan dan adik-beradik sesusuan.
    v) Perempuan mahram disebabkan perkahwinan seperti ibu mertua dan menantu perempuan.
    vi) Perempuan ajnabiah (yang tidak ada pertalian darah).
    vii) Suami.
    viii) Kerabat di kalangan lelaki yang mahram dengan mengikut keutamaan dalam hal menjadi imam dalam sembahyang mayat.

    Syarat-syarat yang melayakkan seseorang diberi keutamaan memandikan mayat

    Sungguhpun jika seseorang itu diberi keutamaan atau didahulukan untuk memandikan mayat, namun perlu juga dilihat apakah dia memenuhi syarat-syarat berikut ataupun tidak:

    1) Merdeka.
    2) Berakal.
    3) Sama agamanya dengan si mati.
    4) Tidak melakukan pembunuhan ke atas si mati walaupun dengan hak.
    5) Tidak bermusuhan dengan si mati.
    6) Tidak fasiq.
    7) Bukan kanak-kanak sekalipun mu-maiyiz.
    Jika orang yang lebih utama memandikan mayat itu tidak memenuhi syarat-syarat di atas maka didahulukan orang selepasnya yang memenuhi syarat-syarat tersebut. Sebagai contoh nenek lelaki yang tidak fasiq didahulukan daripada bapa yang fasiq sekalipun bapa itu lebih utama daripada nenek lelaki dalam memandikan mayat.

    Sunat berlapik ketika memandikan mayat

    Sunat bagi suami membalut tangannya dengan kain ketika memandikan mayat isterinya supaya wudhu orang yang memandikan mayat itu tidak batal apabila bersentuhan kulit antara kedua-duanya.

    Begitu juga, sunat bagi isteri membalut tangan dengan kain ketika memandikan mayat suaminya dan sunat bagi tuan yang memiliki hamba membalut tangannya dengan kain ketika memandikan mayat hamba perempuannya.

    Walau bagaimanapun, jika mereka tidak membalut tangan mereka dengan kain dan bersentuhan kulit antara mereka dengan si mati, mandi mayat itu tetap sah.

    Ketiadaan orang yang memandikan mayat selain orang ajnabi yang berlainan jantina

    Sekiranya tidak ada orang untuk memandikan mayat lelaki melainkan yang ada hanya perempuan ajnabiah ataupun sebaliknya iaitu tidak ada orang untuk memandikan mayat perempuan melainkan yang ada hanya lelaki ajnabi, maka menurut pendapat yang ashah wajib mayat tersebut ditayammumkan sahaja dengan berlapik dan tidak perlu dimandikan kerana keuzuran syara‘ iaitu menghalang daripada melihat dan menyentuh perkara yang diharamkan.

    Demikianlah penjelasan mengenai hukum memandikan mayat dan orang yang lebih utama memandikan mayat. Mudah-mudahan penjelasan ini akan menambah kefahaman mengenainya dan menjadi perhatian terutama kepada ahli keluarga si mati supaya mempelajari ilmu fikah khususnya perkara pengurusan mayat sebagai persediaan menghadapi keluarga yang ditimpa musibah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...