Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Orang ramai khususnya para penonton rangkaian televisyen dan rancangan yang dibawakan oleh Radio Televisyen Brunei (RTB), kini boleh menikmati siaran bermutu tinggi dengan audio yang lebih jelas menerusi siaran Televisyen Digital RTB.
Menurut kenyataan daripada RTB, ia kini telah beralih ke siaran TV Digital di siaran digital televisyen RTB yang dapat diterima dengan menggunakan peralatan penerima digital (receiver) yang sesuai iaitu sama ada melalui alat Set-Top-Box (STB), sejenis alat penerima siaran televisyen digital atau set televisyen digital yang mempunyai integrated digital television tuner (iDTV) dengan sistem DVBT2.
Menurut kenyataan itu lagi, terma-terma teknikal ini boleh diajukan kepada pembekal atau penjual televisyen digital bagi memastikan orang ramai mendapatkan jenis set televisyen dan alat STB yang betul.
Selain daripada itu, peralatan aerial turut memainkan peranan penting untuk memastikan penerimaan siaran televisyen digital dapat diterima dengan jelas.
Memandangkan terdapatnya sebahagian kawasan di negara ini yang berbukit-bukau, orang ramai disarankan untuk memasang outdoor aerial jenis Ultra High Frequency (UHF) dengan menghalakannya ke stesen pemancaran Andulau bagi Daerah Belait dan sebahagian Daerah Tutong dan ke stesen di Bukit Subok jika di kawasan Daerah Brunei dan Muara.
Bagi kawasan yang terletak jauh dari stesen-stesen berkenaan, para penonton disarankan untuk memasang booster bagi mendapatkan siaran yang optimum.
Dengan siaran televisyen digital pada masa ini, penonton akan dapat menikmati saluran televisyen yang mempunyai gambar yang bermutu tinggi dan audio yang lebih jelas berbanding dengan siaran analog.