‘Siasat dengan adil kes polis tendang penunggang motosikal’

SIBU, 27 OGOS – Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing hari ini menggesa polis agar bersikap adil dalam siasatan dalaman mereka terhadap kes anggota polis yang didakwa menendang penunggang motosikal hingga jatuh di Sibu, Selasa lepas.

Beliau berkata niat asal anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu itu adalah untuk mengawal trafik dan menjaga keselamatan orang awam, bagaimanapun beliau percaya sekiranya anggota polis itu memilih untuk mengejar suspek yang melarikan diri itu, mungkin akan mengganggu aliran lalu lintas, membahayakan pengguna jalan raya lain, malah boleh menyebabkan kemalangan.

“Jika penunggang motosikal itu terlibat dalam jenayah atau tiba-tiba mengeluarkan senjata untuk mengancam polis, apa yang akan kita katakan? Kita perlu menghargai keberanian anggota dalam menegakkan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – Bernama