Siasatan baharu dilancar ke atas waris Red Bull

BANGKOK, 4 OGOS – Peguam Negara Thailand hari ini mengarahkan siasatan baharu ke atas waris Red Bull kerana disyaki terbabit kejadian langgar lari yang menyebabkan kematian, susulan kemarahan orang ramai apabila pertuduhan ke atasnya digugurkan bulan lalu.

Vorayuth ‘Boss’ Yoovidhya didakwa atas tuduhan membunuh apabila Ferrari miliknya melanggar pegawai polis di kejiranan paling eksklusif di Bangkok, pada 2012.

Kes itu berlarutan beberapa tahun dan Vorayuth yang juga cucu pengasas bersama Red Bull, Chaleo Yoovidhya, dan seorang lagi waris keluarga itu melarikan diri dari Thailand, pada 2017.

Bulan lalu, polis dan pendakwa raya berkata, semua pertuduhan ke atas lelaki berusia 38 tahun itu digugurkan, termasuk memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian, memetik bukti baharu.

Situasi itu membangkitkan kemarahan orang ramai, selain tanda pagar #BoikotRedBull tular di Twitter apabila kes terbabit menggambarkan golongan jutawan seolah-olah ‘kebal’.

Ia disusuli kenyataan janggal yang memperincikan kedudukan dan menafikan dikeluarkan lapan anggota keluarga Yoovidhya, keluarga kedua terkaya di Thailand, menurut Forbes.

Susulan desakan berterusan, Pejabat Peguam Negara (AGO), Pejabat Perdana Menteri dan polis kini membuka semula siasatan bagi mengenal pasti punca pertuduhan itu digugurkan. – AFP

Gambar fail 3 September 2012 menunjukkan kereta Ferrari didakwa terlibat dalam kemalangan langgar lari membabitkan pewaris Red Bull (gambar sisipan). Thailand kelmarin mengarahkan siasatan baharu ke atas pewaris jutawan itu akibat desakan orang ramai. – AFP