WASHINGTON, 29 Jan – Siasatan oleh penasihat khas Robert Mueller ke atas kemungkinan pakatan sulit antara kempen Donald Trump dan Rusia dalam pilihan raya presiden 2016 telah hampir selesai, menurut Pemangku Peguam Negara Matthew Whitaker semalam.
Pejabat Mueller berdiam diri tentang perkembangan siasatan yang begitu mendapat perhatian dan kenyataan Whitaker adalah indikasi rasmi pertama bahawa siasatan mungkin hampir selesai.
“Siasatan Mueller hampir selesai,” Whitaker memberitahu para wartawan.
“Saya telah diberikan penerangan sepenuhnya tentang siasatan itu dan saya menanti Pengarah Mueller menyerahkan laporan akhir,” ujarnya.
“Saya harap kami boleh menerima laporan dari Pengarah Mueller secepat mungkin.”
Mueller akan menyerahkan laporannya kepada Whitaker melainkan dia diganti sebagai peguam negara oleh peguam negara pada ketika itu, Bill Barr yang telah dicalonkan untuk menyandang jawatan itu oleh Trump tetapi belum disahkan oleh Senat.
Tanpa mengulas lebih lanjut, Whitaker berkata: “Saya merasa selesa bahawa keputusan yang dibuat dalam laporan Mueller akan dikaji semula, menerusi pelbagai kaedah yang kami ada.”
Mueller, bekas pengarah FBI, dilantik oleh Timbalan Peguam Negara Rod Rosenstein pada Mei 2017 untuk menyiasat ke atas campur tangan Rusia dalam pilihan raya 2016.
Mueller telah dilantik sebagai penasihat khas selepas Trump tiba-tiba memecat pengarah FBI James Comey pada bulan yang sama. – AFP


































