Siasatan terhadap Trump tidak sah – Rumah Putih

NEW YORK, 9 OKT – Rumah Putih tidak akan memberikan kerjasama berhubung siasatan terhadap Presiden Donald Trump kerana menyifatkan tindakan itu sebagai ‘tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan’, lapor agensi berita Anadolu.

Perkara itu dimaklumkan menerusi surat yang dihantar kepada Demokrat semalam. Surat setebal lapan muka surat itu antara lain mengatakan tiada keperluan untuk mengadakan siasatan dan tindakan itu tidak tertakluk dalam Perlembagaan Amerika Syarikat (AS).

“Presiden tidak melakukan sebarang kesalahan dan Demokrat tahu tentang itu,” kata setiausaha akhbar Rumah Putih Stephanie Grisham dalam satu kenyataan.

“Tindakan itu adalah penghinaan kepada Perlembagaan kerana menafikan hak presiden untuk memanggil saksi, memperoleh akses kepada bukti.”

Surat yang ditulis peguam Trump, Pat Cipollone, menuduh Parti Demokrat berusaha ‘membatalkan keputusan’ pilihan raya 2016 serta cuba merosakkan peluang Trump untuk dipilih semula pada 2020.

Pada 24 September lalu, Demokrat mahu menjalankan siasatan terhadap Trump berikutan terdapat maklumat mengatakan presiden itu berulang kali menekan Ukraine untuk campur tangan dalam pilihan raya presiden 2020. – Bernama