SIBS 2021 diadakan secara hibrid

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) bakal kembali tahun ini, pada 18 hingga 21 November depan, secara hibrid yang mengintegrasikan acara fizikal dengan potensi tanpa had dunia digital.

Dimulakan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan dikendalikan oleh Invest Selangor Berhad, SIBS 2021 akan diadakan secara fizikal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi pameran-pameran dan persidangan.

Invest Selangor dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan, peserta juga boleh mengakses pelbagai pilihan kandungan, rangkaian secara digital melalui sembang pengguna interaktif dan banyak lagi.

Kenyataan menyatakan, hari pertama dan kedua acara hanya akan dibukakan untuk pelawat perdagangan sahaja sementara itu, SIBS 2021 akan dibuka kepada orang ramai pada 20 dan 21 November.

Pendaftaran adalah terhad mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan hanya mereka yang mendapatkan vaksinasi lengkap saja dibenarkan (14 hari setelah mendapatkan dos
kedua).

Untuk pelawat antarabangsa dan pempamer yang menghadiri pameran SIBS 2021, MIDA membenarkan pelawat perniagaan untuk memasuki Malaysia dengan aturan keselamatan perjalanan yang ketat melalui Perkhidmatan Pusat One Stop.

Butiran protokol dan cara memohon boleh didapati dalam sesawang MIDA dan SIBS 2021 menjangkakan penyertaan lebih 500 petak pameran dengan jumlah 10,000 pengunjung perdagangan pada sidang kemuncak empat hari itu.