Sidang fokus isu serantau, antarabangsa

BANGKOK, 19 JUN – Isu serantau dan antarabangsa yang memberi kesan kepada negara-negara anggota ASEAN akan dibincangkan pemimpin-pemimpin pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan di Bangkok, dalam usaha mewujudkan kestabilan ekonomi dan politik serantau.

Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad bersama pemimpin anggota negara ASEAN lain akan berhimpun mulai esok hingga 23 Jun ini membincangkan isu-isu perang dagang China-Amerika Syarikat, isu Laut China Selatan, pelarian Rohingya, Semenanjung Korea, pengganasan dan ekstremisme.

“Para pemimpin anggota ASEAN dijangka bertukar pendapat dan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa semasa untuk membawa kestabilan ekonomi, politik dan keselamatan di rantau ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Selain itu, Rozian berkata empat dokumen akan diperakukan semasa sidang kemuncak kali ini iaitu ASEAN Leaders’ Vision Statement on ‘Partnership for Sustainability’; An ASEAN Indo-Pacific Outlook; Bangkok Declaration on Combating Marine Debris in the Region; dan ASEAN Leaders’ Statement on the ASEAN Cultural Year 2019.

Beliau berkata para pemimpin negara anggota ASEAN dijangka akan membincangkan pelbagai isu termasuk pewujudan Komuniti ASEAN menjelang 2025.

Bertemakan ‘Advancing Partnership for Sustainability’, beliau berkata para pemimpin akan membincangkan isu-isu berkaitan untuk membawa ASEAN lebih maju di bawah kepengerusian pertama Thailand.

“Malaysia menyokong tema yang diperkenalkan Thailand. Kita akan lihat apa (aspek) yang boleh kita bekerjasama untuk kestabilan di rantau ini. Para pemimpin anggota negara ASEAN akan memberi sokongan kepada inisiatif Thailand.

“Pada masa yang sama, negara-negara ASEAN bersama 10 anggota negara dialog dijangka melaksanakan program untuk memanfaatkan rantau ini khususnya untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi dan dalam usaha mewujudkan Komuniti ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata Dr Mahathir yang akan tiba di Bangkok esok (Khamis) akan menghadiri Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 dan juga Sesi Pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 pada Sabtu dan Ahad ini. – Bernama

Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani ketika sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 serta Sidang Kemuncak yang berkaitan. – Bernama