Sidang gabung pemikiran cendekiawan Nusantara

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Penataran IImu dan Bahasa (PPIB) telah bekerjasama dengan Pusat Pengajian Teras (PPT) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan KUISCELL, Malaysia, untuk menganjurkan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (PASAK) ke-6 dalam talian baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada persidangan berkenan ialah Pemangku Rektor KUIS, Profesor Madya Dr Mohd Farid Ravi bin Abdullah.

Persidangan tersebut disokong dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’azam Shah (UniSHAMS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Fakultas Ushuluddin Adab dan Dakwah (IAIN) Indonesia, Jabatan Pendidikan Bahasa Arab, Pascasarjana (UIN) Antasari Banjarmasin Indonesia dan Davao Oriental State University, Filipina.

Bertemakan Era Kemasyarakatan 5.0 ke arah Perubahan Sosial, Pengarah PPIB, Dr Haji Hambali bin Haji Jaili mewakili UNISSA dalam membentangkan kertas kerja pada sidang pleno.

Manakala lima tenaga akademik UNISSA membentangkan dalam pembentangan selari.

Antara lain tujuan persidangan itu adalah bagi menggabungkan pemikiran cendekiawan Nusantara dalam perspektif yang berbeza untuk membentuk satu masyarakat yang bertamadun bercirikan ajaran agama Islam.

Dr Haji Hambali ketika membentangkan kertas kerja pada sidang pleno. – Gambar serahan UNISSA