Sidang kemuncak ASEAN bakal curi tumpuan

KUALA LUMPUR, 24 OKT – Sidang dan mesyuarat ASEAN sebelum ini dianggap pertemuan biasa yang tiada sengat dengan keputusan perbincangan sudah dapat diramal.

Namun, baru-baru ini keputusan yang diambil menteri-menteri luar ASEAN untuk mengecualikan junta Myanmar daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang akan membuka tirainya pada Selasa, mungkin telah mengubah sedikit sebanyak persepsi terhadap blok 10 negara itu.

Malah, bukan itu sahaja, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, semasa dialog serantau mengenai Myanmar baru-baru ini, mencadangkan sesuatu yang luar biasa berhubung prinsip ASEAN.

Saifuddin mahu semua pihak berkepentingan menyelami keadaan bagi memungkinkan blok serantau itu berganjak daripada prinsip tidak campur tangan, ke arah ‘penglibatan konstruktif’ atau ‘non-indifference’.

Keputusan blok itu dan kenyataan berani menteri luar Malaysia memperlihatkan bahawa ia bukan lagi urusan seperti biasa untuk pertubuhan serantau berkenaan. Sebarang perubahan terhadap asas utama pertubuhan itu bertepatan pada masanya kerana masyarakat antarabangsa sentiasa memantau rapat cara ASEAN menangani isu membabitkan anggotanya.

Justeru, Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 – yang akan diadakan secara maya pada 26 hingga 28 Oktober tanpa kehadiran Myanmar – akan menjadi tumpuan pemerhati antarabangsa, terutamanya sama ada kumpulan itu mampu terus menjadi pengubah keadaan atau berpegang teguh pada status quo.

Myanmar dikecualikan berikutan kurangnya kemajuan dalam Konsensus Lima Perkara yang disepakati ASEAN April lepas, antara lain untuk membantu menyelesaikan isu yang dihadapi negara itu, selepas kerajaan yang dipilih pimpinan Aung San Suu Kyi digulingkan tentera. Junta menolak keputusan itu.

Menteri-menteri luar  ASEAN juga memutuskan hanya mempelawa wakil bukan politik dari negara itu selain menolak permintaan kerajaan bayangan Myanmar, Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) untuk menyertai sidang kemuncak berkenaan. – Bernama