Sidang kemuncak EU bermula

BRUSSELS, 17 JULAI – Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf mereka masih belum mencapai satu perjanjian mengenai belanjawan EU berjumlah 1.85 trilion euro dan dana pemulihan virus pada permulaan sidang kemuncak mereka hari ini.

“Perbezaan yang timbul masih amat besar dan saya tidak dapat meramalkan sama ada kami akan mencapai satu keputusan kali ini,” kata Canselor Jerman, Angela Merkel ketika beliau tiba di tapak sidang kemuncak Eropah. “Maka saya menjangkakan rundingan yang amat sukar.”

Cabaran yang menghadapi 27 pemimpin EU – ada di antara mereka tiba memakai penutup mulut dan hidung, ada di antara mereka tidak – adalah amat besar.

Blok itu mengalami kemelesetan paling teruk dalam sejarahnya dan negara anggota bergelut mengenai siapa harus membayar paling banyak untuk membantu negara lain dan negara yang mana satu yang harus menerima paling banyak untuk memulihkan ekonomi mereka.

Selepas menyampaikan ucapan kepada pemimpin, Presiden Parlimen Eropah, David Sassoli berkata risiko adalah tinggi dan beliau menggesa para pemimpin supaya mencapai persetujuan tatkala Eropah terjejas teruk akibat krisis koronavirus.

“Sebarang penangguhan mungkin mencetuskan krisis baharu dan menjejas Eropah. Kami tahu ramalan adalah amat negatif,” kata beliau. “Jika Eropah tidak membuat keputusan, mungkin krisis kewangan akan meletus dan dengan itu, adalah amat penting satu keputusan, satu perjanjian dicapai.” – AP

Canselor Jerman, Angela Merkel (kiri) bercakap dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron (tengah) dan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel semasa mesyuarat sidang kemuncak EU di Brussels kelmarin. – AP