NAIROBI, 4 SEPT — Sidang Kemuncak Iklim Afrika yang pertama kini dibuka dengan ketua-ketua negara berkenaan menuntut suara yang lebih kuat dalam isu global yang paling menjejaskan benua dengan 1.3 bilion penduduk itu.
Kerajaan Presiden Kenya, William Ruto dan Kesatuan Afrika telah melancarkan sesi menteri pada hari ini dengan tekad untuk menggunakan pengaruh global yang lebih besar dan mendapatkan lebih banyak pembiayaan dan sokongan. Penceramah pertama termasuk golongan belia, menuntut suara yang lebih besar dalam proses itu.
“Sejak sekian lama kita telah melihat hal ini sebagai satu masalah. Terdapat peluang yang sangat besar juga,” kata Ruto mengenai krisis iklim, sambil merujuk kepada peluang ekonomi berbilion dolar, struktur kewangan baharu, kekayaan mineral Afrika yang besar dan cita-cita kemakmuran bersama. “Kita berkumpul di sini bukan untuk menyenaraikan rungutan.”
Namun, terdapat sedikit kekecewaan di benua ini kerana diminta untuk membangun dengan cara yang lebih bersih daripada negara-negara terkaya di dunia, yang telah lama menghasilkan sebahagian besar pelepasan yang membahayakan iklim, dan untuk melakukannya ketika sebahagian besar sokongan yang telah dijanjikan belum ditunaikan.
“Inilah peluang kita,” kata Mithika Mwenda dari Pan African Climate Justice Alliance dalam perhimpunan itu, dengan menegaskan bahawa aliran tahunan bantuan iklim ke benua itu adalah 10 peratus atau kurang daripada apa yang diperlukan.
“Kita perlu segera melihat penghantaran AS$100 bilion yang dijanjikan (oleh negara-negara kaya setiap tahun kepada negara membangun dalam kewangan iklim),” kata Simon Stiell, setiausaha eksekutif Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim. Lebih daripada AS$83 bilion dalam pembiayaan iklim diberikan kepada negara-negara miskin pada 2020, peningkatan 4 peratus daripada tahun sebelumnya tetapi masih kurang daripada matlamat yang ditetapkan pada 2009.
“Kita mempunyai banyak tenaga boleh diperbaharui yang bersih dan adalah penting untuk kita menggunakan bagi memperkasakan kemakmuran masa depan kita. Tetapi untuk mengaktifkannya, Afrika memerlukan pembiayaan daripada negara-negara yang telah menjadi kaya dengan penderitaan kita,” kata Mohamed Adow dari Power Shift Africa. – AP
