Tuesday, April 23, 2024
28.9 C
Brunei

    -

    Sidang kemuncak Liga Arab sesi-31 bermula

    ALGIERS, 2 NOV – Sidang kemuncak Liga Arab (AL) sesi ke-31 bermula pada petang kelmarin di ibu kota Algeria, Algiers dengan jaminan makanan serantau dan isu Palestin menjadi agenda utama.

    Presiden Tunisia Kais Saied, yang negaranya menjadi tuan rumah sidang kemuncak AL terakhir pada 2019, menyerahkan jawatan presiden sidang kemuncak itu kepada rakan sejawatannya dari Algeria Abdelmadjid Tebboune pada satu majlis simbolik, lapor Xinhua.

    Dalam ucapan perasmiannya Saied berkata slogan sidang kemuncak itu ‘pertemuan semula’ merumuskan harapan untuk mengatasi semua perbezaan yang membawa kepada perselisihan di rantau Arab.

    “Kami berharap sidang kemuncak Algiers akan menjadi puncak persaudaraan dan penyelesaian,” katanya sambil memuji usaha Algeria untuk membantu puak Palestin mencapai perdamaian.

    Bagi pihaknya Tebboune menyatakan ‘sidang kemuncak itu berlangsung dalam keadaan serantau dan antarabangsa yang kompleks dan sensitif, yang dicirikan khususnya oleh peningkatan ketegangan dan krisis, terutama di dunia Arab’.

    Beliau menggesa negara-negara Arab untuk meningkatkan kerjasama ekonomi mereka bagi  memastikan makanan di rantau ini terjamin.

    “Isu Palestin kekal sebagai teras dan keutamaan kami,” tegas pemimpin Algeria itu sambil menggesa “komitmen secara kolektif Arab ke atas Inisiatif Keamanan Arab bagi memastikan hasrat rakyat Palestin untuk menubuhkan negara merdeka mereka dalam sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” terlaksana.

    Dalam ucapannya pada sidang kemuncak itu, Setiausaha Agung AL Ahmed Aboul-Gheit menggesa seluruh Arab untuk meningkatkan usaha bagi menyelesaikan semua konflik bersenjata di rantau itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...