Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Sidang kemuncak NATO dikawal ketat

    MADRID, 28 JUN – Madrid ditukar menjadi zon keselamatan tinggi kelmarin, dengan beribu-ribu anggota polis mengawal tempat di mana lebih 40 orang pemimpin dunia akan berkumpul bagi menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang memberi tumpuan kepada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

    Digelar sebagai operasi ‘Eirene’, sempena dewi keamanan Yunani purba, operasi tersebut melibatkan penempatan terbesar pasukan keselamatan dalam ‘sejarah terkini Sepanyol’, menurut kenyataan kerajaan.

    Seramai 10,000 orang ejen yang dibantu oleh anjing penghidu dan helikopter telah dikerahkan untuk menyediakan keselamatan bagi 5,000 orang perwakilan yang menghadiri sidang kemuncak tiga hari itu.

    Menteri Pertahanan Sepanyol, Margarita Robles berkata, jet pejuang dan alat artileri antipesawat juga telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk melindungi ruang udara Sepanyol semasa persidangan dilangsungkan.

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson adalah antara pemimpin yang dijangka pada perhimpunan anggota NATO bersama puluhan negara yang dijemput khas.

    “Madrid dan Sepanyol akan menjadi perhatian pusat dunia,” kata Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares kepada televisyen swasta Antena 3.

    Semasa persiapan keselamatan dijalankan kelmarin, pihak polis dilihat berjalan kaki dan menunggang kuda bagi membuat rondaan di jalan raya Madrid, yang dipantau oleh helikopter dan dron polis.

    Keselamatan paling ketat adalah di sekitar pusat persidangan IFEMA di timur laut ibu negara, tempat sidang kemuncak itu akan berlangsung. – AFP

    Seorang anggota polis berdiri semasa demonstrasi anti-NATO di pusat bandar Madrid kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...