Sidang Mastera ke-24 bermula

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Negara Brunei Darussalam tahun ini menjadi tuan rumah bagi Sidang Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) ke-24 dan pembukaannya dilancarkan malam ini di Bilik Mesyuarat, Hotel Antarabangsa Rizqun.

Hadir pada majlis pembukaan sidang tersebut ialah Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam, Hajah Sariani binti Haji Ishak selaku ketua perwakilan dan Pengerusi Mastera Brunei Darussalam.

Turut hadir ialah Kepala Pusat Pengembangan dan Perlindungan Bahasa, Indonesia, Dr Hurip Danu Ismadi selaku wakil Ketua Perwakilan Mastera Indonesia; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia, Datuk Haji Abdul Adzis bin Abas selaku Ketua Perwakilan Mastera Malaysia; Timbalan Pengerusi Majlis Bahasa Melayu, Singapura, Profesor Madya Dr Hadijah binti Rahmat selaku Ketua Perwakilan Mastera Singapura dan ahli-ahli Mastera yang lainnya.

Hajah Sariani dalam ucapan ringkas pembukaannya mengalu-alukan kedatangan semua ahli-ahli Mastera dan berharap mereka akan mempelajari perkara baharu dalam perlaksanaan Mastera pada sidang ini.

Dayang Hajah Sariani semasa menyampaikan ucapan perwakilan pada majlis pelancaran Sidang MASTERA ke-24.
Ahli-ahli Mastera semasa hadir pada sidang malam kelmarin.

Beliau juga berharap agar sidang kali ini dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan dan berjalan lancar.

Pada sidang tersebut, beliau juga memperkenalkan ahli-ahli Mastera di Brunei Darussalam.

Sidang Mastera antara lain akan meneliti jadual dan agenda mesyuarat selama dua hari dan pada mesyuarat tersebut, ahli-ahli akan menilai, membincang dan melaporkan kegiatan Mastera di kelima-lima buah negara pendiri Mastera di samping membincangkan kegiatan dalam tempoh lima tahun akan datang.