Sidang onkologi 14 April ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 April – Persidangan Onkologi Perubatan Borneo Pertama anjuran Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) akan diadakan 14 April ini di Auditorium PJSC, Jerudong.

Sementara pusat berkenaan bermatlamat untuk menjadi pusat kanser terkemuka di Borneo, ini merupakan persidangan pertama di Brunei yang menghubungkan pakar-pakar kanser tempatan dengan rakan sejawatan di Sarawak, Sabah dan bahagian lain pulau ini.

PJSC dalam kenyataannya menyatakan, pakar-pakar onkologi di Borneo telah mengesahkan akan mengambil bahagian, kerana pakar-pakar kanser terkemuka dari United Kingdom (UK) juga akan menghadirinya untuk berkongsi perkembangan terkini dalam bidang onkologi.

Antara pembentang bagi persidangan itu termasuk Profesor Karol Sikora, Dr Mark Harries dan Profesor Angus Dalgleish.

Kenyataan menjelaskan, Profesor Karol Sikora merupakan ketua pegawai perubatan, Proton Partners International yang menubuhkan rangkaian pusat-pusat terapi sinaran proton pertama di UK bagi rawatan kanser.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai ketua program kanser di Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan telah menjawat pelbagai jawatan tinggi seperti pakar kanser di UK dan pada masa ini pengerusi syarikat diagnostik kanser terkemuka Britain, Source Bioscience PLC dan dekan Sekolah Perubatan Buckingham.

Pada persidangan berkenaan, beliau akan bercakap mengenai kemajuan-kemajuan teknologi dalam penjagaan kanser dan penggunaan terapi proton dalam pengurusan kanser pada masa hadapan.

Dr Mark Harries pula merupakan konsultan onkologi perubatan terkemuka Hospital Guy dan St Thomas, London dan beliau merupakan pensyarah kanan kehormat di Sekolah Perubatan, King’s College London.

Beliau mengkhusus dalam rawatan kanser payudara dan melanoma. Tumpuan penyelidikan beliau adalah kajian klinikal agen-agen baharu bagi merawat kanser payu dara dan melanoma, imunologi dan imunoterapi.

Pada persidangan itu, beliau akan membincangkan mengenai kemajuan-kemajuan terkini dalam pengurusan kanser payudara dan peranan kini kemoterapi dalam kanser payudara.

Sementara itu, Profesor Angus Dalgleish merupakan felo di The Royal College of Physicians di UK dan Australia. Tumpuannya bermula dalam bagaimana virus menyebabkan kanser kemudian kanser imunologi dan perkembangan imunoterapi dalam pengurusan kanser.

Kenyataan menekankan, PJSC bercadang menubuhkan kemudahan-kemudahan makmal sel imunoterapi. Terapi imun adalah perubahan yang dinanti-nantikan dalam penjagaan kanser.