Tuesday, April 22, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sidang pelaburan Saudi suram

    RIYADH, 23 Okt – Arab Saudi memulakan persidangan pelaburan hari ini di sebalik siri-siri pembatalan dari para penggubal dasar dan orang kuat perniagaan ekoran pembunuhan wartawan yang juga pengkritik kerajaan Jamal Khashoggi.

    Forum tiga hari ‘Future Investment Initiative’ (FII) bertujuan menonjolkan negara minyak itu sebagai destinasi perniagaan menguntungkan dan mewujudkan suasana bagi usaha niaga baharu dan kontrak berbilion-bilion dolar.

    Namun sidang mesyuarat itu yang dipanggil ‘Davos in the desert’ dibayangi oleh kemarahan meningkat sejagat ekoran pembunuhan Khashoggi di dalam konsulat negara itu di Istanbul pada 2 Oktober lalu, dengan beberapa pelabur antarabangsa terkenal menarik diri ekoran kes itu.

    Persidangan Riyadh bermula di tengah-tengah kawalan ketat di Hotel Ritz-Charlton, Riyadh dengan ketua Dana Pelaburan Langsung Rusia, Kirill Dmitriyev; CEO syarikat gergasi Perancis Total, Patrik Pouyanne dan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, antara penceramah yang disahkan, yang disenaraikan oleh para penganjur pada hari pembukaan persidangan itu.

    Namun sejumlah besar pelabur dan ketua-ketua antarabangsa telah menolak untuk hadir di Riyadh sebagai membantah terhadap pembunuhan Khashoggi.

    Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin telah menarik diri.

    Ketua Eksekutif Siemens, Joe Kaeser, ketua-ketua korporat dari JP Morgan, Ford dan Uber serta pihak-pihak media berpengaruh, seperti Bloomberg, CNN dan Financial Times juga telah membatalkan rancangan untuk menghadirinya.

    Menteri-menteri dari Britain dan Perancis, juga AS yang mempunyai perjanjian pertahanan dengan Arab Saudi, menjauhkan diri.

    Khan dari Pakistan bagaimanapun menghadirinya ketika kerajaannya terus berusaha mendapatkan pembiayaan untuk kewangannya yang semakin bertambah teruk. – AFP

    CEO Dana Pelaburan Langsung Rusia ketika menghadiri forum pelaburan selama tiga hari di Riyadh. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda