Sidang tumpu hubungan, kerjasama China-NZ

AUCKLAND, NEW ZEALAND, 3 MEI – Sidang Kemuncak Perniagaan China 2021 menekankan kepentingan hubungan dan kerjasama China-New Zealand hari ini.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern menyampaikan ucapan alu-aluannya berhubung hubungan NZ dan China serta dasar kerajaannya terhadap China dengan mengulangi semula kepentingan hubungan dua hala.

“Hubungan NZ bersama China adalah salah satu signifikan kami. Rakan Kongsi Strategik Komprehensif terus menyediakan asas kukuh bagi perhubungan itu. Dan kami akan terus komited dengan dasar ‘satu China’,” kata Ardern.

“Perdagangan dalam barangan antara kedua-dua buah negara kekal mapan meskipun berdepan cabaran COVID-19, dengan keseluruhan eksport tetap kukuh. Aliran perdagangan dua hala kini melebihi 30 bilion dolar New Zealand setahun,” kata Ardern.

Ardern juga menyatakan berusaha mencapai asas sama dalam beberapa isu penting hubungan dua hala.

“Berdasarkan sejarah berlainan dua negara, pandangan dunia dan sistem politik serta undang-undang, New Zealand dan China akan mengambil perspektif berbeza atas beberapa isu-isu penting. Kami akan terus bekerja menanganinya dalam cara yang konsisten, seperti yang kami sering lakukan,” kata Ardern.

Sebagai hos APEC pada 2021, Ardern percaya New Zealand mempunyai peluang unik menjadi pengerusi, untuk memainkan peranan dalam membentuk masa depan Asia Pasifik.

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan China dan rakan-rakan APEC lain untuk merealisasikan aspirasi kita bagi komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, mapan dan aman menjelang 2040 dan saya berharap dapat mengadakan perbincangan bersama Presiden Xi semasa APEC tahun ini,” kata Ardern. – Xinhua

Perdana Menteri NZ, Jacinda Ardern ketika menyampaikan ucapannya semasa sidang kemuncak di Auckland, NZ pada 3 Mei. – Xinhua