Sidang UBDSBE kembali lagi 31 Julai ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Berikutan kejayaan Persidangan Antarabangsa mengenai Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan kali pertama pada tahun 2017, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Brunei Darussalam (UBDSBE) akan menganjurkan sidang kedua bermula 31 Julai ini hingga 1 Ogos di UBD.

Sidang yang membawa tema ‘Teknologi Baharu, Persekitaran Perniagaan Dinamik dan Pertumbuhan Masa Depan’ itu akan mendatangkan penceramah utama dari Malaysia iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam, Profesor Datuk Dr Azmi Omar.

Pada sidang itu nanti, beliau akan berkongsi kertas kerjanya mengenai ‘Perbankan Terganggu – Adakah Bank-bank Bersedia bagi Perbankan 4.0?’ yang membincangkan landskap perbankan semasa dan menganalisis bagaimana bank-bank mampu menangani cabaran dan peluang yang dibawa oleh gangguan digital.

Di samping itu, dua speaker undangan iaitu Profesor Euston Quah, profesor ekonomi dari Universiti Teknologi Nanyang, Singapura akan berkongsi pandangannya mengenai topik ‘Inisiatif Jalur dan Laluan China: Analisis Faedah Kos dan Memenuhi Kewajipan Persekitaran’, manakala Profesor Mehmet Huseyin Bilgin juga profesor ekonomi dari Universiti Medeniyet Istanbul akan membincangkan tentang ‘Bolehkah Digitalisasi Menyelesaikan Masalah Kewangan PKS?’.

Persidangan itu juga akan bercirikan 50 pembentangan dengan pelbagai tajuk daripada speaker-speaker dari lebih 15 organisasi dari 12 buah negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Turki, Australia, Jepun, China, Nigeria dan juga dari negara jiran, Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia. Sementara itu, pakar-pakar antarabangsa dan tempatan akan berkongsi pandangan mereka dalam acara kemuncak perbincangan panel mengenai ‘Menuju ke arah Industri 4.0: Peluang dan Cabaran’ dengan menampilkan Profesor Art Goldsmith, seorang profesor ekonomi di Universiti Washington and Lee, AS.

Maklumat lanjut mengenai persidangan yang disokong dan ditaja oleh Dynamik Teknologies, Jerudong Park and Country Club, Miftah An Nur International, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan Progresif Cellular Sdn Bhd itu boleh didapati di laman sesawang http://sbe.ubd.edu.bn/ICBEF/main.aspx atau hubungi sekretariat di icbef.sbe@ubd.edu.bn.