Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    SIE promosikan peluang perniagaan, ekonomi

    KOTA KINABALU, 22 SEPT – Kazakhstan mahu menjadi sebahagian daripada pertumbuhan perdagangan antarabangsa di Sabah melalui pelbagai bidang dan kepakaran termasuk infrastruktur, kewangan, pelancongan dan sekuriti makanan.

    Bagi merealisasikan aspirasi itu, Kedutaan Kazakhstan ke Malaysia mengadakan forum perniagaan pertamanya di Ekspo Antarabangsa Sabah (SIE) 2023, di sini hari ini, yang antara lain adalah untuk mempromosikan peluang perniagaan dan ekonomi.

    Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Bulat Sugurbayev berkata, penyertaan mereka dalam SIE 2023 juga merupakan platform untuk meningkatkan hubungan di antara Malaysia dan Sabah, yang mempunyai potensi perniagaan dan ekonomi yang besar.

    “Kazakhstan terletak jauh walaupun ia adalah negara kesembilan terbesar di dunia, tempat ke-10 teratas, (tetapi) kita tidak begitu terkenal di Malaysia dan di Sabah.

    “Oleh sebab itulah kami berada di sini untuk mempromosi dan meningkatkan kesedaran (mengenai Kazakhstan) kerana terdapat banyak peluang (perniagaan dan ekonomi),” katanya kepada Bernama.

    SIE 2023 bermula semalam dan berlangsung hingga hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

    Ia dianjurkan bersama oleh kerajaan Sabah, Persekutuan Industri Sabah (FSI) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) Cawangan Sabah.

    Objektif utama acara dwitahunan itu adalah untuk menyediakan platform kepada peserta pameran tempatan dan antarabangsa bagi bertemu, menjalin hubungan perniagaan dan mempamerkan produk dan perkhidmatan terkini dari Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) secara khusus dan ASEAN amnya. – Bernama

    Bulat Sugurbayev semasa wawancara dengan agensi berita Nasional Malaysia kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda