Siemens buang 2,700 pekerja

FRANKFURT AM MAIN, 19 JUN – Konglomerat industri Siemens berkata semalam ia akan membuang 2,700 pekerja di seluruh dunia di unit gas dan tenaganya, termasuk 1,400 di negara asal Jerman, ‘dalam tempoh beberapa tahun.’

Divisyen itu, dijangka mengadakan pengapungan pasaran saham bebas pada 2020, akan ‘memerlukan simpanan sebanyak 500 juta euro’, kata Siemens dalam satu kenyataan.

“Beberapa langkah diperlukan demi mengurangkan kos dan menyelaraskannya kepada jumlah projek yang berkurangan,” tambah syarikat.

Pembuangan kira-kira 7,000 pekerja dan penutupan tapak telah pun diumumkan di unit berkenaan.

“Siemens kini akan memulakan rundingan dengan wakil pekerja relevan dan seterusnya melaksanakan langkah yang dirancang dalam cara yang bertanggungjawab dari segi sosial,” kata syarikat.

Dengan 64,000 pekerja di 80 buah negara, ia mencatat jualan berjumlah 12.4 bilion euro pada 2018 dan 377 juta euro dalam keuntungan, termasuk kontrak besar di Mesir dan Iraq.

Namun keuntungannya merosot tahun demi tahun, disebabkan kemerosotan permintaan untuk peralatan kilang tenaga akibat peralihan global daripada bahan fosil kepada tenaga yang boleh diperbaharui.

Kumpulan itu dalam beberapa tahun ini telah menghapus unit peralatan perubatan, dikenali sebagai Healthineers, divisyen turbin angin Gamesa dan pengeluar mentol lampu Osram. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 17 November 2017 menunjukkan pekerja konglomerat industri Jerman Siemens menunjuk perasaan di tapak “Dyanomowerk”. Siemens berkata pada 18 Jun bahawa ia akan membuang 2,700 pekerja di seluruh dunia di unit gas dan tenaganya, termasuk 1,400 di Jerman ‘dalam tempoh beberapa tahun’. – AFP