FREETOWN, 22 Ogos – Pihak berkuasa Sierra Leone hari ini memberi amaran kepada pelancong dan penduduk tempatan agar tidak berenang dalam perairan di ibu negara selepas 60 mayat hanyut susulan banjir lumpur dahsyat di Freetown minggu lalu.
“Saya nasihatkan agar tidak berenang sehinggalah kami merasakan ia selamat dan bersesuaian,” kata Yassin Kargbo, pengarah am pejabat pelancongan bandar memberitahu wartawan di Freetowna.
Menurutnya, bandar itu mengeluarkan nasihat itu ‘kerana pelbagai serpihan yang berada dalam air dan kemungkinan anda boleh cedera atau dicemari air.’
Kargbo mengatakan pihak berkuasa sudah menemui 60 mayat di tepi pantai dan seorang mangsa yang masih hidup, seminggu selepas bandar itu dilanda banjir lumpur yang membunuh hampir 500 orang.
Sekurang-kurangnya 600 yang lain masih disenaraikan sebagai hilang, menurut Palang Merah. – AFP