Sifar jangkitan baharu, hampir 70,000 divaksin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Negara Brunei Darussalam tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu COVID-19 setakat jam 12 tengah hari ini, mengekalkan kes keseluruhan 256 orang, manakala jumlah yang sudah divaksin di negara ini menghampiri angka 70,000.

Sementara itu, tiada kes sembuh dicatatkan, mengekalkan kes aktif kepada lapan kes yang kini sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan dalam keadaan baik, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan hari ini.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (413 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 115 kes.

Selain itu, sejumlah 788 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala 20,326 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sebanyak 635 sampel juga telah diuji dalam masa 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan yang diuji sejak Januari 2020 kepada 138,402 ujian.

Dari segi pemberian vaksinasi pula, sejumlah 69,877 orang telah menerima dos pertama dan kedua sejak ia bermula 3 April lalu.

Jumlah itu termasuklah 12,524 yang menerima dua dos lengkap dan 57,353 merupakan mereka yang baru menerima dos pertama setakat 22 Jun jam 5 petang.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan bilangan tertinggi pemberian vaksin iaitu 36,647 bagi dos pertama dan 9,955 bagi dos kedua, Daerah Belait berjumlah 8,596 bagi dos pertama dan 1,034 bagi dos kedua, Daerah Tutong berjumlah 8,099 bagi dos pertama dan 1,066 bagi dos kedua dan Daerah Temburong berjumlah 4,011 bagi dos pertama dan 469 bagi dos kedua.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.