Sifar jangkitan COVID-19, dua lagi sembuh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Negara Brunei Darussalam mencatatkan sifar kes jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 136 orang, sementara dua lagi kes telah sembuh dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah mereka yang sembuh kepada 106 orang.

“Ini bermakna, pada ketika ini, terdapat 29 kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana dua orang masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan manakala selebihnya adalah dalam keadaan yang baik,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan memaklumkan kemas kini status jangkitan COVID-19 tersebut pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. Menurutnya, jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah sebanyak 2,334 orang dan hanya 66 orang sahaja yang masih menjalani kurantin.

“Sementara itu, juga setakat hari ini, seramai 1,142 orang telah menamatkan tempoh pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang telah disediakan oleh ke-rajaan setelah pulang ke negara ini selepas melakukan perjalanan antarabangsa,” jelas Yang Berhormat Dato.

Beliau mengatakan dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 247 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari lepas kepada 9,884 ujian.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai berita palsu dan mengelirukan yang tular di media-media sosial semenjak kes pertama COVID-19 di negara ini dilaporkan.

“Berita palsu dan mengelirukan ini, di samping tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, ia juga hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai sehingga menyebabkan orang ramai cemas dan panik,” tekannya.

Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh didakwa di bawah Akta Ketenteraman Awam, Penggal Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh dipenjara tiga tahun dan denda sebanyak $3,000.

“Orang ramai adalah juga dinasihati untuk tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media lain seperti WhatsApp, Twitter dan Facebook tanpa memastikan kesahihannya,” tekan Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Selain itu, beliau juga mengingatkan orang ramai untuk lebih bertanggungjawab dan tidak turut menyebarluaskan sebarang perkara yang tidak berasas.

Untuk maklumat lanjut dan perkemba-ngan terkini COVID-19, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa) atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.