Sifar jangkitan COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 APRIL – Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa tidak ada kes baharu jangkitan COVID-19 yang disahkan dan ini bermakna jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam kekal 138 orang.

Pada masa yang sama, satu kes aktif telah disahkan sembuh dari COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kekal pada 116 orang dan jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini, ialah sebanyak 21 kes di mana dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan serta selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa tidak ada kes dicatatkan dalam kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan hari ini dan jumlah keseluruhan kes berkenaan kekal sebanyak 18 orang, di mana 13 orang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut.

Beliau turut menyatakan bahawa pada hari ini, seramai 138 orang sedang menjalani kuarantin menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah sebanyak 2,408 orang.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 161 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 11,633 ujian.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi, healthinfo.gov.bn.