Sifar jangkitan, hanya empat masih dirawat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Negara Brunei Darussalam terus mencatatkan sifar kes baharu hari ini, menjadikan kes COVID-19 di negara ini kekal 141 orang.

Sementara itu, tiada kes sembuh dicatatkan hari ini, dengan jumlah sembuh kekal 136 orang. Manakala kes aktif yang masih menerima rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan pula sebanyak empat kes. Daripada jumlah itu, dua masih dalam keadaan kritikal.

Statistik itu dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Bagi kes kritikal, hanya seorang masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan, manakala seorang lagi kini hanya memerlukan bantuan mesin pernafasan sahaja, dan selebihnya adalah dalam keadaan yang baik, tambahnya.

“Pada ketika ini, seramai 101 orang sedang menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah seramai 2,578 orang,” kongsi Yang Berhormat Dato.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 329 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 17,221 ujian,” tambahnya lagi.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth atau healthinfo.gov.bn.