Sifar kes COVID-19, lima sembuh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Tiada kes baharu dicatatkan hari ini di negara ini, mengekalkan jumlah keseluruhan seramai 339 orang dan lima orang sembuh, menjadikan kes aktif sebanyak 47 kes.

Kesemua kes aktif sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan dalam keadaan yang baik, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Kes terakhir jangkitan tempatan ialah 455 hari lalu dan kes import sejak itu ialah sebanyak 198 kes.

Manakala sejumlah 609 orang kini sedang menjalani pengasingan diri mandatori dan dalam tempoh 24 jam lalu, sebanyak 432 sampel diuji bagi koronavirus.

Bagi kempen vaksinasi, negara telah mencatatkan 30.8 peratus penduduk yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, 7.4 peratus dua dos vaksin manakala warga emas menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin ialah seramai 24,430 orang.

Jumlah keseluruhan yang telah divaksinasi ialah seramai 173,245 sejak ia dilaksanakan pada 3 April lalu. Jumlah penerima dua dos lengkap ialah 33,690 manakala sejumlah 139,555 merupakan penerima yang baru menerima dos pertama setakat 3 Ogos, jam 5 petang.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.