Sifar kes jangkitan COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Negara Brunei Darussalam tidak mencatatkan kes baharu jangkitan COVID-19 setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal seramai 145 orang dengan tiga kes yang masih aktif.

Pengemaskinian status tersebut telah dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan melalui Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini.

Selain itu, Kementerian Kesihatan turut mengongsikan bahawa seramai 461 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dengan seramai 5,248 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 145 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 53,292 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.