Sifar pecah rumah di Labuan

LABUAN, 26 Jun – Tiada sebarang kejadian pecah rumah dilaporkan di Labuan sepanjang tempoh 15 hari Ops Selamat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata operasi telah dijalankan seminggu sebelum sehingga seminggu selepas Aidilfitri (8 Jun -22 Jun) yang berfokus kepada elemen pencegahan jenayah and penguatkuasaan trafik.

Beliau berkata sebanyak 801 rondaan telah dilakukan melibatkan unit rondaan menggunakan kenderaan pelbagai guna, motosikal dan unit udara.

“Kita telah menugaskan enam pengawai kanan dan 40 anggota lain dari empat balai polis bagi operasi itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Muhamad Farid berkata rondaan dilakukan disekitar kawasan perumahan serta perkampungan di mana pemilik rumah pulang bercuti tetapi tidak melaporkan atau berdaftar dengan bilik gerakan polis.

Beliau berkata kadar kemalangan jalan raya di Labuan pula mencatatkan pengurangan sebanyak 13 peratus dengan 22 kes sepanjang tempoh itu berbanding 35 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Katanya jumlah saman yang dikeluarkan pula meningkat 1.29 peratus dengan 539 saman berbanding 530 tahun lepas manakala jumlah kompaun yang dikutip meningkat 3.84 peratus kepada RM16,750 berbanding RM16,130 dalam tempoh yang sama tahun lepas. – Bernama