Sifat-sifat pekerja dicari majikan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Semangat, ketabahan, kesediaan atau kemahuan untuk belajar dan kemampuan untuk menyesuaikan diri adalah beberapa sifat yang dicari oleh majikan dalam kalangan calon pekerja, terutama dalam pasaran kerja yang kompetitif dengan calon perlu menonjolkan diri untuk mendapatkan perhatian.

Perkara berkenaan telah diketengahkan oleh beberapa profesional industri terkemuka di Brunei Darussalam dalam forum bertajuk Meet the Bosses yang dianjurkan oleh
Persatuan Alumni Brunei Australia (BAAA) di Ozone, Fitness Zone, Kiulap, hari ini.

Acara tersebut diadakan dengan sokongan dari Bank Standard Chartered. Lebih kurang 50 orang belia tempatan telah mengambil peluang untuk menjalinkan rangkaian dan mendengarkan sesi perkongsian daripada pemimpin-pemimpin korporat besar di sektor-sektor berbeza yang beroperasi di Brunei.

Pada awal acara, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald dalam ucapannya menyampaikan beberapa nasihatnya kepada jemputan yang hadir, sambil mengongsikan perjalanannya untuk menjadi diplomat terkemuka.

“Masuk untuk membuat kerja dan pelajari selok belok pekerjaan serta perhatikan bagaimana anda dapat meningkatkan dan mencari peluang untuk membuat perbezaan bagi menjadikannya lebih baik,” nasihat beliau, sambil menekankan bahawa rangkaian tersebut sangat penting untuk membuka lebih banyak peluang.

Sesi perbincangan kedua mengetengahkan Haji Darryl, Hazizah dan William Lai yang membincangkan mengenai How to Thrive in Your Career.
Hajah Zainab, Tan Lee Ngee dan Awang Mohammad Yazalimembincangkan mengenai Apa yang Diinginkan oleh Bos? semasa sesi perbincangan pertama.

Perbincangan panel pertama yang dimudahcarakan oleh Pengasas Curious Mind, Shaun Hoon, berkisar pada persoalan Apa yang Diinginkan oleh Bos? di mana salah seorang ahli panel, Pengarah Sumber-sumber Manusia Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Hajah Zainab MA Omar mengatakan bahawa sikap positif adalah salah satu sifat penting yang akan dicari olehnya sebagai calon, sambil menambah bahawa cara mereka membawa diri, ketepatan masa dan semangat serta dorongan untuk melampaui batas dan keaslian juga adalah penting.

Ketua Pegawai Operasi, Standard Chartered Bank, Tan Lee Ngee yang juga merupakan salah seorang ahli panel mengatakan bahawa integriti merupakan asas apa yang dicari sebagai seorang pekerja dan mengapa mereka berminat untuk berkerjaya dengan bank tersebut.

Sementara itu, Pengarah Sumber-sumber Manusia Progresif, Awang Mohammad Yazali bin Haji Yahya mengongsikan bahawa mereka tidak hanya mencari seseorang yang boleh menunjukkan prestasi dalam temu bual, tetapi juga seseorang yang terdorong untuk menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk membuat perubahan dengan organisasi dalam jangka panjang dan sesuai dengan tujuan jangka panjang mereka serta bersiap sedia untuk menghadapi masa-masa sukar dengan menawarkan penyelesaian dan idea, dan bukannya menunggu sesuatu terjadi.

Sesi perbincangan panel kedua membawa tajuk How to Thrive in Your Career yang dimudahcarakan oleh Rakan Kongsi di Ridzlan Lim Advocates & Solicitors, Kevin Lim dan membahaskan mengenai bagaimana untuk berkembang dalam kerjaya.

Sesi ini menampilkan General Counsel di Standard Insurance Sdn Bhd, Haji Darryl AB Haji Maidin yang menekankan mengenai semangat dan sikap positif untuk membantu berkembang dalam kerjaya.

Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Hazizah Osman juga menekankan mengenai pentingnya memiliki sikap positif untuk tidak pernah mengalah dan ia dapat membantu mengekalkan kerjaya seseorang serta membawa mereka lebih jauh.

Sementara itu, Ketua Ope-rasi Dynamik Technologies, William Lai pula menekankan bahawa kemahiran insaniah yang baharu adalah sifat terpenting yang mereka cari pada calon pada masa ini, di tengah-tengah pasaran pekerjaan yang kompetitif.