Oleh Raz AS
Memancing merupakan salah satu daripada aktiviti luar yang mudah dilakukan. Hampir semua peringkat masyarakat tanpa mengira latar belakang, jantina dan tahap kecergasan boleh melibatkan diri dalam aktiviti ini.
Tidak dapat disangkal lagi ikan adalah makanan sihat yang kaya dengan lemak Omega-3, yang terbukti dapat menurunkan tekanan darah tinggi serta mengurangkan risiko menghadapi strok dan serangan jantung. Bukan itu sahaja, ia juga boleh meningkatkan fungsi otak pada kanak-kanak.
Menurut kajian sains, memakan ikan bukan sahaja baik untuk kesihatan otak dan jantung. Bahkan juga baik untuk kesihatan mata, mengurangkan risiko penyakit asma, serta mengurangkan risiko menghidap kanser payudara.
Itu adalah faedah memakan ikan, apakah pula faedah aktiviti memancing kepada tubuh badan kita?
Dari segi kesihatan tubuh badan, memancing boleh meningkatkan kesihatan kardiovaskular kita. Meskipun memancing dikaitkan dengan aktiviti yang santai, namun bergantung dengan keadaan awda memancing ia boleh menjadi salah satu bentuk aktiviti fizikal atau senaman yang boleh membakar kalori bergantung dengan keaktifan awda di padang pancing.

Jika awda hanya duduk diam menunggu pancing dimakan ikan sambil tidak henti-henti mengunyah makanan dan minum minuman segera yang dibawa dari rumah mungkin tiada bezanya dengan semasa duduk di rumah atau ‘lepak-lepak’ di kedai kopi.
Namun kalau awda tidak betah duduk, sentiasa bergerak untuk menduga kawasan sekeliling dan berulang-ulang kali membuat pergerakan melontar pancing, secara tidak langsung tubuh badan, jantung dan paru-paru awda terpaksa bekerja lebih keras sedikit daripada kebiasaannya.
Tambahan lagi, otot-otot seluruh badan juga terpaksa bekerja lebih keras dengan pergerakan-pergerakan tersebut terutama kaki, lengan dan bahu. Bagi pemancing-pemancing yang pernah bertarung dengan ikan-ikan besar pasti tahu betapa letihnya pertarungan menahan asakan ikan sehingga otot-otot terasa kencang.
Bagi yang memancing pada siang hari, salah satu faedah kesihatan yang awda peroleh adalah meningkatnya sistem imun badan dengan terdedah kepada cahaya matahari. Vitamin D yang diperoleh dengan mendedahkan diri kita dengan cahaya matahari boleh membantu tubuh badan menyerap mineral dengan lebih baik, menguatkan lagi ketahanan imunisasi tubuh terhadap jangkitan penyakit.
Meski begitu pastikan awda menggunakan lotion pelindung matahari dan topi untuk melindungi diri daripada sinaran UV dan panas mentari. Pastikan juga awda meminum air secukupnya untuk mengelakkan dehidrasi.
Memancing bukan sahaja memberi faedah kesihatan pada tubuh badan, ia juga berfaedah kepada kesihatan mental kita.
Meluangkan masa di luar lebih-lebih lagi dikelilingi oleh alam semula jadi ciptaan Allah yang serba indah boleh melapangkan fikiran yang bercelaru, mengurangkan stres dan menurunkan tekanan darah. Seumpama satu meditasi selain melatih kesabaran diri dengan menanti umpan dimakan ikan.
Menurut kajian yang dijalankan oleh National Academy of Sciences di Amerika Syarikat, askar-askar veteran mereka yang pernah bertempur di medan perperangan, yang pergi meman-cing pada hujung minggu, tahap kortisol hormon stres mereka telah berkurangan hingga boleh mencecah selama tiga minggu.
Para peserta kajian yang meluangkan masa mereka selama 90 minit berada di kawasan yang dikelilingi alam semula jadi telah menunjukkan penurunan aktiviti neural pada bahagian otak yang berkaitan dengan risiko penyakit mental berbanding mereka yang berada di kawasan bandar.
Selain itu, memancing juga boleh mengeratkan jalinan silaturahim antara sesama insan, tidak kira antara sesama pemancing lain, ahli keluarga dan teman-teman yang turut pergi memancing bersama-sama kita.