SII rayu dana kerajaan

MUMBAI, 7 APRIL – Pengilang vaksin terbesar dunia telah merayu kepada kerajaan India bagi bantuan kewangan selepas New Delhi menyekat eksport bagi vaksin koronavirus untuk menangani peningkatan kes jangkitan tempatan.

Sekatan eksport vaksin COVID-19 menjejaskan operasi Institut Serum India (SII) apabila terdesak memerlukan bantuan kewangan kerajaan berikutan pengeluar vaksin terbesar dunia kini sedang mengalami tekanan dari negara yang mengalami peningkatan mendadak kes jangkitan wabak pandemik itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Serum Institute of India (SII), Adar Poonwalla, memberitahu penyiaran NDTV lewat kelmarin, sejak New Delhi membayar vaksin itu kurang daripada yang diperolehinya berbanding eksport, ia memerlukan dana tambahan berjumlah 30 bilion rupee (AS$408 juta) dari kerajaan untuk merangsang kapasiti pengeluarannya.

“Ini tidak pernah dijangkakan atau dirancang pada awalnya kerana kami sepatutnya mengeksport serta mendapatkan dana dari negara-negara eksport, tetapi sekarang ia tidak berlaku, kami perlu mencari kaedah inovatif lain untuk membangunkan kapasiti kami,” katanya kepada NDTV semalam.

“Dunia memerlukan vaksin ini dan kita mengutamakan keperluan India sekarang ini serta kita juga sedang berdepan kekurangan untuk membekalkannya untuk setiap rakyat India yang memerlukan,” katanya. – AFP