Sijil Halal bagi premis, Permit Halal bagi produk

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Julai – Di bawah Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan), 2017, semua pengusaha makanan dan restoran di negara ini dikehendaki untuk membuat permohonan bagi mendapatkan Sijil Halal bagi premis atau Permit Halal bagi produk mengikut kesesuaian jenis perniagaan yang mereka jalankan.

Sijil Halal juga hendaklah dipohonkan oleh mana-mana orang yang memiliki perniagaan yang menyediakan makanan di tempat seperti restoran, gerai atau kantin.

Ini juga termasuk dalam kategori bagi orang yang menjalankan perniagaan membuat dan menjual makanan dari rumah terus kepada pelanggan tanpa diedarkan kepada mana-mana pemborong atau peruncit.

Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) menjelaskan perkara ini dalam kenyataan yang dikeluarkannya berikutan tersebarnya kenyataan yang tular di media sosial, baru-baru ini, yang melibatkan mengenai perintah tersebut.

Kenyataan turut menekankan bahawa Majlis Ugama Islam Brunei boleh mempertimbangkan untuk mengecualikan mana-mana permohonan yang difikirkan patut tertakluk kepada syarat-syarat sebagaimana yang mungkin dikenakan olehnya dan ini berdasarkan peruntukan Bab 49(B), Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan), 2017.

Manakala itu, mana-mana orang yang memiliki suatu perniagaan yang menyediakan makanan bagi maksud mengedarkan kepada pemborong dan peruncit atau untuk dieksport adalah dikehendaki untuk membuat permohonan bagi mendapatkan Permit Halal bagi setiap jenis produk yang dihasilkan.

Pada masa ini, menurut Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005 yang dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2008, harga Permit Halal adalah $50 bagi satu jenis produk adalah tidak bertempoh atau tiada tarikh luput.

Bagaimanapun, kadar harga tersebut sedang dalam penilaian oleh pihak berkenaan, menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan mengalu-alukan sebarang maklum balas yang munasabah disampaikan secara bersopan dan tidak membawa kepada perkara-perkara yang berupa hasutan atau kebencian.