Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Sijil pulih mudahkan perjalanan keluar dan masuk

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Keperluan sijil pemulihan atau recovery certificate diperkenalkan dalam aplikasi BruHealth adalah bagi memberi kemudahan kepada orang ramai di negara ini yang mempunyai sejarah dijangkiti COVID dan sudah disahkan sembuh serta menamatkan tempoh kuarantin untuk meneruskan perjalanan keluar dan masuk negara.

    Dalam hal ini, terdapat sebahagian negara yang menetapkan syarat agar para pelancong yang memasuki negara-negara mereka untuk melakukan ujian PCR namun dengan adanya sijil berkenaan dapat menjadi bukti pengesahan seseorang yang pernah dijangkiti itu akan perlu atau tidak melakukan ujian PCR mengikut tempoh-tempoh yang dikehendaki oleh negara-negara tersebut.

    Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berhubung kepentingan utama sijil pemulihan yang baru diperkenalkan dalam aplikasi BruHealth, khususnya bagi mengesahkan individu-individu sembuh daripada jangkitan COVID-19 dan menamatkan tempoh kuarantin, semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, petang tadi.

    “Apabila seseorang itu sudah dijangkiti COVID-19 maka tempoh selayaknya bagi mereka untuk melakukan ujian PCR berbeza-beza seperti ada yang menetapkan dalam tempoh selepas 60 hari atau 90 hari mengikut keperluan negara yang dimasuki itu.

    “Dengan adanya sijil yang membuktikan kita sudah pernah dijangkiti sebelumnya dalam masa yang ditentukan itu maka ia boleh ditunjukkan sebagai pengecualian daripada melakukan ujian PCR tersebut,” ujarnya lanjut.

    Yang Berhormat Dato menambah bahawa kepentingan sijil berkenaan juga diperlukan bagi mereka yang ingin kembali ke tanah air untuk menentukan pengecualian melakukan ujian yang sama.

    Hal ini kerana dalam tempoh masa 90 hari ini jika individu-individu melakukan ujian berkenaan berkemungkinan mereka masih dapat dikesan positif tetapi CT value mereka pada tahap yang tinggi. Dalam pada itu, orang ramai tidak perlu lagi untuk mendapatkan pengesahan dari klinik-klinik tertentu dan sijil pemulihan ini sebagai pemudah cara bersama.

    Sementara itu, menyentuh mengenai isu cara melaporkan keputusan ujian pantas antigen (ART) dalam aplikasi BruHealth khususnya bagi sebahagian kit ART yang tidak memiliki kod QR tertera padanya, Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin menjelaskan bahawa dalam aplikasi BruHealth mengandungi dua butang ciri khas bagi orang ramai membuat pilihan sama menggunakan ciri ART dengan kod QR atau tanpa QR.

    Jelas beliau, butang ciri ART dengan kod QR bagi melaporkan keputusan kit ART yang disumbangkan oleh Kementerian Kesihatan kepada orang ramai manakala orang ramai yang menggunakan kit ART bukan daripada sumbangan pihak kementerian pula dikehendaki untuk melaporkan keputusan mereka dengan menekan butang ciri ART tanpa kod QR.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pengawal dari Pakistan tuntut kewarganegaraan

    SYDNEY, 18 APRIL - Perdana menteri Australia hari ini berkata beliau akan mempertimbangkan untuk memberikan kewarganegaraan kepada seorang pengawal keselamatan Pakistan yang cedera dalam...