Sijil vaksinasi luar negara diiktiraf di negara ini

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Pihak kerajaan sememangnya meluluskan syarikat-syarikat untuk membenarkan orang ramai yang memiliki sijil atau surat pengesahan yang menunjukkan mereka sudah melengkapkan suntikan vaksinasi di luar negara.

“Oleh itu, premis kerajaan dan syarikat swasta disarankan untuk memberi kebenaran kepada mereka dengan sebaik-nya,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan mengenai permasalahan terdapat syarikat-syarikat perniagaan tidak membenarkan individu yang mempunyai suntikan vaksinasi dari luar negara untuk memasuki premis mereka pada sidang media, hari ini.

Yang Berhormat Dato menekankan lagi sijil pengesahan sebagai bukti penerimaan suntikan vaksin di luar negara adalah diiktiraf oleh kerajaan Negara Brunei Darussalam, lebih-lebih lagi bagi keperluan keluar masuk premis-premis di negara ini dalam Fasa Peralihan ini dan seterusnya.

Selain itu, beliau turut menegur premis-premis perniagaan yang tidak membenarkan orang ramai yang memiliki kod berwarna kuning dalam aplikasi BruHealth mereka memasuki premis-premis, kerana dalam situasi itu orang awam yang memiliki kod kuning ini sepatutnya dibenarkan masuk dan ia bukanlah satu permasalahan.