JAKARTA, 26 Jan – Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berharap jawatankuasa kerja teknikal sempadan Malaysia-Indonesia bersikap lebih terbuka dalam mencari penyelesaian sempadan maritim kedua-dua negara.
Beliau berkata hanya dengan cara itu isu sempadan tersebut dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan pihak terbabit dapat mengemukakan saranan terbaik kepada pucuk pimpinan negara masing-masing.
Tumpuan sekarang ialah mencari penyelesaian sempadan di perairan Sulawesi dan setelah mencapai kata sepakat kelak, kaedah sama boleh diguna pakai untuk penyelesaian di sempadan lain perairan Malaysia-Indonesia, katanya.
Zahrain berkata demikian ketika menjawab pertanyaan beberapa anggota Parlimen Indonesia ketika melakukan kunjungan hormat ke atas Speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Setya Novanto, di sini hari ini.
Rundingan bagi menyelesaikan isu sempadan perairan di selatan Sulawesi itu telah berlanjutan lebih 10 tahun tanpa sebarang keputusan muktamad.
Ketika menghadiri Majlis Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia di Jakarta tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedua-dua negara bersetuju menyelesaikan isu sempadan perairan tersebut secara tuntas dan boleh diterima kedua-dua negara.
Terdahulu, Zahrain semasa berucap berkata Kedutaan Besar Malaysia sedang menyusun beberapa aktiviti bagi meraikan 60 tahun hubungan diplomatik Malaysia-Indonesia.
Katanya hubungan Malaysia-Indonesia bukanlah sekadar sebagai negara jiran tetapi diibaratkan hubungan dua beradik kerana rakyat kedua-dua buah negara daripada rumpun yang sama dan mempunyai persamaan bahasa serta budaya.
“Selain daripada hubungan antara kerajaan, kita juga mahu menekankan hubungan antara rakyat dengan rakyat menerusi penganjuran pelbagai aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Sementara itu, Setya dalam ucapannya berkata kerajaan Indonesia menghargai segala usaha yang dijalankan oleh Malaysia dalam menjaga kebajikan rakyat republik tersebut selain bersetuju hubungan rakyat dengan rakyat harus dipertingkatkan.
Ketua Umum parti Golkar itu dilantik semula sebagai Speaker DPR pada November lepas setelah beliau melepaskan jawatan pada Disember 2015 susulan dikaitkan dengan isu menggunakan nama Presiden Joko Widodo kononnya meminta saham daripada syarikat PT.Freeport Indonesia. – Bernama