Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Sikat berusia 3,700 tahun ditemui

    BAITULMAQDIS, 10 NOV – Ahli arkeologi Israel telah menemui sikat lama yang wujud kira-kira 3,700 tahun lalu dan mempunyai ayat penuh paling lama dalam tulisan abjad Kanaan, menurut artikel yang terbit semalam.

    Tulisan tersebut menggalakkan orang menyikat rambut dan janggut mereka untuk membuang kutu.

    Ayat itu mengandungi 17 huruf yang berbunyi: “Moga gading ini akan menghapus kutu daripada rambut dan janggut.”

    Pakar berkata penemuan itu mendedahkan maklumat mengenai beberapa penggunaan paling awal abjad Kanaan, dicipta sekitar 1800 SM dan asas kepada semua sistem abjad, seperti Ibrani, Arab, Greece, Latin dan Cyril.

    Topik itu menunjukkan orang menghadapi masalah dengan kutu dalam kehidupan harian pada masa itu – dan pakar arkeologi berkata mereka juga menemui bukti mikroskop kutu rambut pada sikat tersebut.

    Sikat itu pertama digali pada 2016 di Tel Lachish, tapak arkeologi di selatan Israel, tetapi hanya pada akhir tahun lalu seorang profesor di Universiti Ibrani perasan terdapatnya perkataan kecil diukir di sikat berkenaan.

    Butir-butir penemuan disiarkan semalam dalam artikel Jurnal Arkeologi Baitulmaqdis.

    Penemuan itu juga membuka ruang perdebatan mengenai era purbakala, kata ahli arkeologi di Universiti Ibrani, Yosef Garfinkel. Memandangkan ayat diukir pada sikat gading di istana bandar, selain menyebut janggut, ia mungkin menandakan hanya lelaki kaya yang boleh membaca dan menulis.

    “Ia adalah teks manusia biasa. Ia menunjukkan bahawa orang tidak berubah dan kutu tidak berubah sejak dari dulu,” kata Garfinkel. – AP

    Gambar keluaran Pihak Berkuasa Barang Antik Israel kelmarin menunjukkan sikat gading dengan ayat penuh dalam Bahasa Kanaan, tulisan berusia 3,700 tahun yang menggalakkan orang membuang kutu, telah ditemui di Tel Lachish, Israel. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...